Rabu, Disember 15, 2010
Pencerahan Hadis Abu Sa’id al-Khudri Menegur Marwan B. al-Hakam
Pencerahan Hadis Abu Sa’id al-Khudri Menegur Marwan B. al-Hakam
Adakah hadis ini boleh digunakan sebagai dalil untuk menegur pemerintah secara terbuka sebagaimana dakwaan sebahagian pihak yang lantang mengkritik pemerintah sesuka hati di sana-sini. Berikut pencerahannya, insyaAllah.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ فَيَبْدَأُ بِالصَّلَاةِ فَإِذَا صَلَّى صَلَاتَهُ وَسَلَّمَ قَامَ فَأَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ وَهُمْ جُلُوسٌ فِي مُصَلَّاهُمْ فَإِنْ كَانَ لَهُ حَاجَةٌ بِبَعْثٍ ذَكَرَهُ لِلنَّاسِ أَوْ كَانَتْ لَهُ حَاجَةٌ بِغَيْرِ ذَلِكَ أَمَرَهُمْ بِهَا وَكَانَ يَقُولُ تَصَدَّقُوا تَصَدَّقُوا تَصَدَّقُوا وَكَانَ أَكْثَرَ مَنْ يَتَصَدَّقُ النِّسَاءُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ. فَلَمْ يَزَلْ كَذَلِكَ حَتَّى كَانَ مَرْوَانُ بْنُ الْحَكَمِ فَخَرَجْتُ مُخَاصِرًا مَرْوَانَ حَتَّى أَتَيْنَا الْمُصَلَّى فَإِذَا كَثِيرُ بْنُ الصَّلْتِ قَدْ بَنَى مِنْبَرًا مِنْ طِينٍ وَلَبِنٍ فَإِذَا مَرْوَانُ يُنَازِعُنِي يَدَهُ كَأَنَّهُ يَجُرُّنِي نَحْوَ الْمِنْبَرِ وَأَنَا أَجُرُّهُ نَحْوَ الصَّلَاةِ فَلَمَّا رَأَيْتُ ذَلِكَ مِنْهُ قُلْتُ أَيْنَ الِابْتِدَاءُ بِالصَّلَاةِ فَقَالَ لَا يَا أَبَا سَعِيدٍ قَدْ تُرِكَ مَا تَعْلَمُ قُلْتُ كَلَّا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تَأْتُونَ بِخَيْرٍ مِمَّا أَعْلَمُ ثَلَاثَ مِرَارٍ ثُمَّ انْصَرَفَ
Terjemahan: Daripada Abu Sa’id al-Khudri, (beliau menjelaskan):
“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar pada hari ‘Iedul Adha dan ‘Iedul Fitri, lalu beliau memulakannya dengan solat. Ketika beliau telah menyelesaikan solatnya dan mengucapkan salam, beliau bangkit berdiri dan menghadap kepada manusia (orang ramai yang hadir) sementara orang ramai tersebut dalam keadaan dudu di tempat solat masing-masing. Sekiranya beliau memiliki keperluan untuk mengirim (pasukan), maka beliau mengingatkan orang ramai tentang itu, atau sekiranya beliau memiki keperluan lain, maka beliau memerintahkan mereka untuk melakukannya. Beliau bersabda, “Bersedekahlah kamu, bersedekahlah kamu semua.” Orang yang paling banyak bersedekah adalah kaum wanita, kemudian beliau berganjak dari tempatnya. Perbuatan seperti ini sentiasa dilakukan sehingga pada zaman pemerintahan Marwan B. Al-Hakam. Aku keluar sambil memegang tangan Marwan sehinggalah sampai ke Mushalla (tempat solat). Di sana nampaknya Katsir B. Ash-Shalt telah membuat mimbar dari tanah liat dan batu bata. Tiba-tiba Marwan menarik tangannya sambil seakan-akan ia menarikku sama ke arah mimbar. Manakala aku pula menariknya untuk melaksanakan solat. Ketika aku melihat situasi ini berlaku, aku pun mengatakan,
“Kenapa tidak dimulakan dengan perlaksanaan solat terlebih dahulu?” Maka beliau pun menjawab, “Tidak, wahai Abu Sa’id. Sesungguhnya perbuatan tersebut telah ditinggalkan tanpa pengetahuanmu.” Aku katakan, “Sekali-kali bukanlah demikian sepatutnya. Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, kamu tidak melakukan kebaikan dari apa yang telah aku ketahui.” Beliau mengucapkan tiga kali, kemudian pergi.” (Hadis Riwayat Muslim, 4/403, Bab Solat al-‘Iedain, no. 1472. Syarah Shahih Muslim, 6/178)
Penjelasan Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkenaan teguran Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu kepada Marwan B. Al-Hakam tersebut:
فيه أن الخطبة للعيد بعد الصلاة وفيه الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر وان كان المنكر عليه واليا وفيه أن الانكار عليه يكون باليد لمن أمكنه ولا يجزئ عن اليد اللسان مع امكان اليد
1 – (Dapat difahami bahawa) Khutbah hari raya dilaksanakan setelah solat.
2 – Amar ma’ruf nahi mungkar perlu dilaksanakan walaupun yang ditegah adalah seorang pemimpin.
3 – Mencegah kemungkaran adalah dengan tangan bagi sesiapa yang mampu, dan dengan lisan sekiranya tidak dapat dengan tangan sebagai pengganti sekiranya seseorang mampu melaksanakannya. (Syarah Shahih Muslim, 6/177-178)
Di antara syarat-syarat mampu (secara ringkas) adalah:
1 – Memiliki ilmu dan kelayakan (autoriti).
2 – Terdapat maslahah.
3 – Tidak menimbulkan mudharat yang lebih besar berbanding yang sedia ada.
4 – Berdasarkan pertimbangan masa dan tempat yang sesuai sebagaimana garis panduan asal dalam memberikan sebuah teguran dan nasihat.
Kemudian beliau (an-Nawawi rahimahullah) menyatakan:
قوله لا تأتون بخير مما أعلم هو كما قال لأن الذي يعلم هو طريق النبي صلى الله عليه و سلم وكيف يكون غيره خيرا منه قوله ثم انصرف قال القاضي عن جهة المنبر إلى جهة الصلاة وليس معناه أنه انصرف من المصلى وترك الصلاة معه بل في رواية البخاري أنه صلى معه وكلمه في ذلك بعد الصلاة وهذا يدل على صحة الصلاة بعد الخطبة ولولا صحتها كذلك لما صلاها معه واتفق أصحابنا على أنه لو قدمها على الصلاة صحت ولكنه يكون تاركا للسنة مفوتا للفضيلة
Perkataan Abu Sa’id al-Khudri, “kamu tidak melakukan kebaikan dari apa yang telah aku ketahui.” Inilah yang beliau nyatakan dan ketahui berdasarkan apa yang dilaksanakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Jadi, bagaimana mungkin ada cara lain lagi yang lebih baik (daripada cara Nabi)?
Perkataan beliau, “Kemudian beliau pun pergi,” al-Qadhi berkata, “(Maksudnya) beliau pergi dari arah mimbar untuk melaksanakan solat (mengambil tempat), bukan pergi dari tempat solat tersebut sehingga tidak solat bersamanya (Marwan B. Al-Hakam). Malah, dalam riwayat al-Bukhari disebutkan bahawasanya Abu Sa’id tetap solat bersama Marwan, dan kemudiannya berbicara berkaitan persoalan tersebut setelah solat. Ini menunjukkan sahnya solat setelah khutbah. Sekiranya tidak sah, nescaya Abu Sa’id tidak solat bersamanya. Sahabat-sahabat kami sepakat bahawa sekiranya khutbah didahulukan ke atas solat, maka tetap sah, tetapi perbuatan tersebut (mendahulukan khutbah sebelum solat ‘Ied), ianya termasuk meninggalkan sunnah dan tidak memiliki keutamaan...” (Syarah Shahih Muslim, 6/178)
Setelah meneliti Syarah an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkaitan hadis Abu Sa'id al-Khudri dan tindakannya tersebut - Sama ada ia boleh digunakan sebagai dalil untuk menegur pemerintah secara terbuka atau tidak. Maka, berikut perincian dan pencerahannya secara ringkas:
1 - Hadis tersebut adalah berkaitan teguran yang dilakukan ketika ibadah solat yang hendak dilakukan. Di mana pada ketika itu, berlaku kesalahan apabila khutbah 'Ied didahulukan sebelum solat. Dalam soal praktik ibadah, memang dibenarkan tegur secara langsung, supaya praktik ibadah sentiasa berada dalam keadaan sempurna. Sebagaimana biasa juga tentang persoalan tersalah menghadap kiblat, tersalah bacaan dalam solat, atau kesalahan-kesalahan lainnya berkaitan solat (atau praktik ibadah), ia boleh ditegur secara langsung pada waktu tersebut bagi memperbaiki keadaan.
2 - Apa yang dapat kita lihat adalah, Abu Sa'id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu telah melaksanakan teguran secara langsung dan berdepan. Beliau menjelaskan dengan hujjah yang jelas berdasarkan apa yang beliau ketahui daripada Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
3 - Walau bagaimanapun, nasihat Abu Sa'id al-Khudri tersebut tidak diterima oleh Marwan B. al-Hakam. Dan beliau tetap meneruskan khutbahnya sebelum solat dengan alasan supaya lebih ramai yg akan mendengar khutbahnya.
4 - Walaupun demikian, apa tindakan Abu Sa'id al-Khudri seterusnya? Yang jelas, Abu Sa'id tidak memberontak atau menjadikan suasana tegang sehingga mencanangkan keburukan tersebut. Abu Sa’id bertindak meninggalkan mimbar (dari tempat dia ditarik tersebut), dan kembali mengambil tempat untuk solat. Lebih manis, Abu Sa'id tetap melaksanakan solat bersama-sama Marwan B. al-Hakam tersebut.
5 - Apa yang dilakukan oleh Abu Sa'id seterusnya adalah beliau menunggu sehingga tamatnya solat 'Ied, kemudian beliau pergi menemui Marwan B. al-Hakam secara berduaan dan beliau mengadakan perbincangan dan nasihat secara langsung.
6 – Bahkan sebenarnya hadis ini menunjukkan hujjah menegur pemimpin adalah secara tertutup dan bukan terbuka di khalayak ramai, apatah lagi untuk mencanangkannya. Hikmah dalam soal ini antaranya adalah dalam rangka menjaga ‘aib dan kredibiliti seseorang pemimpin, di samping agar sesebuah nasihat itu lebih mudah diterima, meraih maslahah, dan mengelakkan pelbagai mudharat lainnya yang lebih besar..
Rujuk Dalam Syarah Shahih Muslim, 6/478 berkaitan hadis tersebut dalam bab Solat 'Iedain.
Wallahu a'lam...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan