Tauhid Yang Murni Lambang Keadilan
Oleh: Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com
Allah telah menjelaskan tujuan penciptaan jin dan manusia di alam ini. Iaitu supaya Dia dikenali dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Hanya Dia yang diibadahi dan tidak disekutukan dengan sesuatu apa pun. Supaya manusia dapat menegakkan keadilan yang dengannya tertegaklah langit dan bumi dengan baik. Iaitu dengan mendahulukan hak-hak Allah berbanding hak-hak ciptaan manusia yang lompang di sana-sini.
Perkara ini adalah sebagaimana maksud firman-Nya, “Sesungguhnya Kami telah mengutuskan para Rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan neraca (timbangan keadilan) supaya manusia dapat menegakkan keadilan.” (Surah al-Hadid, 57: 25)
Allah mengkhabarkan bahawa Dia mengutus para Rasul-Nya serta menurunkan Kitab-kitab-Nya supaya manusia menegakkan keadilan. Keadilan yang paling agung adalah tauhid. Tauhid adalah puncak sebuah keadilan. Sekaligus, Tauhid adalah landasan menuju sebuah kejayaan. Manakala syirik pula adalah kezaliman, jalan menuju kepada kegagalan sekaligus kesengsaraan sehingga ke akhirat.
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menyebutkan bahawa,
وهو الحق الذي تشهد به العقول الصحيحة المستقيمة المخالفة للآراء السقيمة
“al-Haq itulah yang merupakan sumber keadilan (penimbang) yang diakui oleh akal yang sihat lagi lurus (yang mustaqim). Dan lawannya adalah pelbagai pendapat serta pandangan yang tidak benar.” Kemudian beliau menyambung,
الحق والعدل وهو: اتباع الرسل فيما أخبروا به، وطاعتهم فيما أمروا به، فإن الذي جاؤوا به هو الحق الذي ليس وراءه حق
“Yang dimaksudkan dengan melaksanakan kebenaran dan keadilan itu adalah membenarkan dan mengikuti apa yang telah disampaikan oleh para Rasul sekaligus mentaati segala apa yang diperintahkan oleh mereka. Sesungguhnya apa yang dibawa oleh para Rasul itu adalah kebenaran yang tidak dapat lagi dinafikan dan tidak ada kebenaran yang lain lagi selainnya.” (Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim, 8/27)
Seterusnya, maksud keadilan ini dapat pula dilihat melalui firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya), “Sesungguhnya syirik itu adalah suatu kezaliman yang paling besar.” (Surah Luqman, 31: 13)
Daripada ayat ini, dapat kita fahami bahawa syirik merupakan kezaliman yang paling besar dan lawannya adalah Tauhid. Sekiranya syirik adalah kezaliman yang paling besar, maka tauhid adalah keadilan yang sebenar dan paling agung. Kerana kezaliman itu lawannya adalah keadilan. Perbuatan syirik adalah suatu tindakan yang menafikan ketauhidan sebagai sebuah keadilan yang paling besar. Sehingga dengan syirik tersebut, Allah telah menetapkan ia sebagai dosa yang paling besar pula. Dengan sebab itu juga, Allah mengharamkan Syurga bagi orang-orang musyrik (pelaku syirik), serta menjadikan darah, harta, dan keluarga mereka halal bagi ahli tauhid (apabila cukup syarat-syaratnya).
Allah berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan dia mengampuni dosa selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah an-Nisaa, 4: 116)
Allah tidak menerima apa jua bentuk amal daripada pelaku syirik. Bahkan amal-amal mereka seperti debu yang berterbangan. Di akhirat, doanya tidak diterima, dan dia tidak dimaafkan. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya), “Dan kami nilai segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (seperti) debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqon, 25: 23)
Dengan kezaliman tersebut, hakikatnya tidaklah dia menzalimi Tuhannya, tetapi sebenarnya dia hanya menzalimi dirinya. Yang dengan kesyirikkan tersebut dia akan diheret ke lembah yang hina lagi menakutkan. Demikianlah kerugian bagi orang-orang yang melakukan kezaliman yang besar berupa syirik.
Kerana di akhirat nanti, kunci utama untuk ke syurga yang dengannya keadilan ditegakkan adalah tauhid. Dengan neraca timbangan tauhid inilah kelak di akhirat manusia bakal diadili. Itulah neraca keadilan yang sebenar, iaitu tauhid yang murni sebagai penyelamat sekaligus sebagai lambang keadilan di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dengannya kita akan selamat dan dimuliakan. Ditempatkan di Syurga sebagai destinasi bahagia yang kekal lagi abadi.
Kefahaman ini sekaligus menolak definisi keadilan yang dipegang oleh segelintir pihak yang tersasar seperti dari kalangan pejuang hak asasi manusia yang menuntut keadilan melalui perjuangan kesamarataan semua pihak dengan bertimbangkan akal dan perasaan, mereka yang fanatik dengan ideologi perjuangan parti-parti politik tertentu sehingga sanggup meminggirkan batas-batas Islam (walaupun mendakwa diri-diri mereka sebagai pejuang Islam), pejuang feminisme (yang mahu menyama-ratakan hak wanita dengan lelaki dalam segala aspek), dan juga seperti sebahagian golongan yang fanatik dengan neraca kebebasan bersuara sehingga bertindak menyama-ratakan hak umat Islam dengan kuffar yang akhirnya mengakibatkan orang-orang kafir turut boleh bersuara mengkritik Islam secara terbuka tanpa selindung.
Dari itu, di atas kefahaman keadilan tauhid inilah kita semua perlu berdiri. Dengan tauhid inilah kita bersatu membina teras keadilan manusia. Kerana dengan keadilan tauhid inilah para Nabi menyeru umatnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun sebelum kamu melainkan kami wahyukan kepadanya, “Bahawasanya tidak ada tuhan yang haq melainkan Aku, maka sembahlah Aku.”.” (Surah al-Anbiya’, 21: 25) “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat manusia supaya menyerukan, “Sembahlah Allah sahaja dan jauhilah thaghut.” (Surah an-Nahl, 16: 36)
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkata:
كل قرن من الناس وطائفة رسولا وكلهم يدعو إلى عبادة الله، وينهى عن عبادة ما سواه
فلم يزل تعالى يرسل إلى الناس الرسل بذلك، منذ حدث الشرك في بني آدم، في قوم نوح الذين أرسل إليهم نوح، وكان أول رسول بعثه الله إلى أهل الأرض إلى أن ختمهم بمحمد صلى الله عليه وسلم الذي طبقت دعوته الإنس والجن في المشارق والمغارب
“Pada setiap zaman, para rasul diutuskan untuk menyeru manusia beribadah hanya kepada Allah dan melarang beribadah kepada selain-Nya. Allah Ta’ala bertindak mengutus para Rasul kepada manusia dengan membawa misi ini semenjak terjadinya syirik dalam kalangan anak cucu Adam di zaman Nabi Nuh. Nuh ‘alaihissalam, diutus kepada mereka sebagai Rasul pertama yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala kepada penduduk bumi sehingga Dia menutup mereka dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang dakwahnya mencakupi jin dan manusia di timur dan barat.” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/570)
Demikianlah sunnah para Nabi dalam mengajak kepada keadilan. Iaitu dengan misi pemurnian tauhid yang dengannya keadilan sejagat ditegakkan. Dengan tauhid itulah dulunya generasi awal umat Islam berjaya membina kekuatan, kegemilangan, dan empayar yang diingati. Maka, sewajarnya begitu jugalah kita perlu mengajak manusia kepada keadilan yang diserukan oleh para Nabi, iaitu keadilan berteraskan tauhid.
Di antara bukti jelas yang dapat sama-sama kita lihat yang menunjukkan misi pemurnian tauhid ini tidak mendapat perhatian atau masih berada di tahap yang amat rendah dalam masyarakat hari ini adalah apabila berleluasanya amalan-amalan khurafat seperti perdukunan, perbomohan, penjualan dan kepercayaan terhadap tangkal, penjajaan air jampi, kepercayaan terhadap horoskop (ramalan bintang), filem-filem khurafat mendapat permintaan, perayaan kaum kuffar dirayakan oleh masyarakat muslim, mempercayai adanya hari dan bulan-bulan sial, bertawassul kepada orang mati dan kubur, menolak qadha dan qadar Allah, berlaku pelbagai bid’ah dan penyelewengan amalan agama, berleluasanya ajaran sesat dan pergolakkan kefahaman agama, berlaku fitnah perpecahan dalam kalangan umat Islam, serta meyakini bahawa sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sesuatu yang jumud sehingga perlu ditinggalkan dan dilupakan.
Demikianlah beberapa contoh hak-hak Allah yang diabaikan dan dikotori. Di manakah umat Islam yang sering melaungkan slogan-slogan keadilan? Yang menuntut hak itu dan ini. Tetapi mereka melupakan hak-hak Allah yang perlu mereka tunaikan terlebih dahulu.
Maka perhatikanlah semua ini, tanyakan iman kita, dan giatkanlah usaha-usaha memurnikan tauhid secara syar’i dan dengan ilmu. Sama ada kepada diri sendiri, keluarga, mahupun masyarakat secara umum.
Wallahu a’lam...
0 comments:
Catat Ulasan