Bagaimana Keluar Dari Kemelut Politik
Abu Numair Nawawi B. Subandi
Seringkali kita mendengar alasan bahawa nasihat dan amar ma’ruf nahi mungkar telah disampaikan dan dilaksanakan ke atas para pemimpin. Namun, mereka masih tetap juga tidak berubah dan tidak mahu berbuat baik. Dalam masa sama, mereka sendiri pun bukanlah pendakwah yang baik untuk para pemimpin mereka.
Mereka tidak langsung menyelami bagaimana sukarnya untuk mengubah keadaan dan mentadbir jutaan pemikiran masyarakat. Termasuk yang berpemikiran seperti mereka. Yang pastinya tidak mungkin cukup sekadar setahun dua tahun.
Atas alasan pemimpin tidak berubah sebagaimana yang mereka kehendaki, maka kelompok-kelompok inipun bertindak agresif membakar emosi rakyat. Antaranya dengan mencanangkan aib para pemimpin, menyeru menukar kepimpinan, menyeru rakyat berdemonstrasi terpekik terlolong di jalanan, dan mencetuskan pelbagai bentuk provokasi serta cemuhan terbuka di serata tempat.
Wallahu a’lam, ini bukanlah adab yang benar dalam menghadapi kemelut politik. Islam adalah agama yang penuh ketenangan, kesabaran, dan mengutamakan maslahah. Mana mungkin Allah akan mengubah sesuatu kelompok masyarakat tertentu, sedangkan diri mereka sendiri diabaikan. Keamanan pula mereka gadaikan.
Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata, “Aku telah menyebutkan dalam bab yang lain bahawa punca kepada masalah yang berlaku kepada para pemerintah, kemudian para menterinya, hakim-hakimnya, dan para panglimanya bukan hanya perlu dilihat dari kekurangan pada diri mereka sahaja, akan tetapi kerana kekurangan para pemimpin dan rakyat sekaligus, kerana bagaimana keadaan kamu, maka begitulah akan dijadikan pemimpin untuk kamu. Allah Ta’ala berfirman, “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman (pemimpin) bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-An’am, 6: 129).” (Majmu’ al-Fatawa, 35/20)
Inilah yang banyak dapat kita lihat di dunia Islam hari ini. Mereka menuntut agar dilantik para pemimpin yang baik-baik. Mereka keluar ke jalan-jalan berdemonstrasi menuntut sebuah revolusi kepimpinan dilakukan segera. Ini dapat dilihat sebagaimana telah berlaku di Iraq dan Afghanistan. Namun apa yang berlaku pada keuda-dua buah negara ini? Iraq kini menderita dikuasai Syaitan Barat bersama-sama kelompok sesat Syi’ah! Setiap hari masyarakat sunni dibunuh dan disembelih. Jauh lebih baik ketika mereka berada di bawah Saddam Hussein. Afghanistan pula terus dicengkam Amerika sehingga kini.
Perkara yang sama berlaku pula kepada Mesir, Yaman, Libya dan beberapa tempat di Timur Tengah hari ini. Mereka mungkin berjaya mengusir pemimpin yang mereka benci, tetapi mereka tidak mungkin mampu membayar harga sebuah keamanan yang hilang. Berapa banyak kerosakan yang berlaku? Berapa banyak jiwa yang terkorban? Siapakah pengganti bagi pemimpin yang mereka tumbangkan?
Akhirnya Barat dan Yahudi juga yang meraih keuntungan. Mereka hanya ternganga. Fikirkanlah ke mana hilangnya berbilion aset Muammar Gaddafi dan Housni Mubarak yang dibekukan kalau bukan jatuh ke tangan Yahudi dan sekutu mereka? Siapa kini yang mula masuk campur, kalau bukan Yahudi dan barat. Demonstrasi yang mereka lancarkan itu sendiri adalah hasil proganda tangan-tangan ghaib milik Yahudi dan sekutu mereka. Sayang seribu kali sayang, ibarat keluar dari mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau.
Kita yang tidak tahu apa-apa, tiba-tiba naik ke mimbar-mimbar memukul gendang mengobar semangat revolusi dengan harapan pemimpin yang adil lagi beriman dapat bertahkta. Tidak semudah itu untuk bermimpi!
Mana mungkin kalau kita sendiri lupa menanamkan iman dan aqidah yang benar ke dalam diri dan masyarakat, lupa untuk menuntut ilmu syar’i, meninggalkan pula amal-amal yang soleh. Tetapi hanyut dengan doktrin-doktrin sesat yang dipropagandakan barat dan ahli bid’ah. Melupakan cara hidup Islam. Menyemarakkan amal-amal agama yang bid’ah dan menyimpang?
Inilah yang banyak dapat kita lihat di Mesir. Amalan menyembah kubur begitu subur di kalangan tarekat sufi di sana. Kubur dianggap masjid dan tempat ibadah. Mereka meyakini kubur memiliki keramat dan membantu memperkenankan hajat. Terutamanya kubur-kubur para wali.
Hati-hati masyarakat pula berpecah-belah dan tidak bersatu kerana kepelbagaian doktrin pemikiran dan fahaman aqidah yang menyimpang.
Inilah yang pelik. Mana mungkin ketika diri-diri mereka sendiri bergelumang dengan syirik dan maksiat, tiba-tiba mereka menagih kepimpinan yang adil dan mulia?
Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyatakan, “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan adalah benar bahawa Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, selepas mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mentauhidkan-Ku dengan tidak mensyirikkan Aku. Dan sesiapa yang ingkar setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nuur, 24: 55)
Oleh sebab itulah al-Hasan al-Bashri pernah berkata, “Sesungguhnya kemunculan al-Hajjaj (salah seorang pemimpin zalim di zaman beliau - pen.) adalah disebabkan azab dari Allah, maka janganlah kamu melawan azab Allah dengan tangan-tangan kamu. Akan tetapi wajib bagi kamu untuk tunduk dan memohon dengan merendah diri kerana sesungguhnya Allah telah berfirman, “Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Rabb mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.” (Surah al-Mukminun, 23: 76)
Begitu juga dengan kata Thalq bin Habib, “Lindungilah diri kamu dari fitnah dengan ketaqwaan.” Beliau ditanya, “Simpulkanlah untuk kami apa itu ketaqwaan?” Beliau pun menjawab, “Iaitu engkau beramal dengan ketaatan kepada Allah dengan petunjuk daripada Allah dengan mengharap rahmat Allah. Dan engkau meninggalkan kemaksiatan kepada Allah dengan petunjuk daripada Allah kerana takut akan azab Allah.” (Minhajus, 4/527-531)
Syaikh as-Sa’di berkata dalam Tafsirnya, “... Sebagaimana para hamba (masyarakat) itu jika baik dan istiqamah berada di atas jalan yang benar, maka Allah memperbaiki pemimpin mereka, iaitu menjadikan untuk mereka pemimpin-pemimpin yang bersikap adil dan insaf. Bukan yang zalim lagi jahat. (‘Abdurrahman B. Nashir as-Sa’di, Taisir Karim ar-Rahman fii Tafsir Kalam al-Mannan, 1/273)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Bahawasanya kamu nanti akan menemui atsarah (pemimpin yang zalim kepada rakyatnya). Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di haudh.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 13/224, no. 3985)
Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan hadis tersebut, “Dalam hadis ini mengandungi anjuran untuk mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia merupakan seorang yang zalim lagi mementingkan diri sendiri. Maka berikanlah haknya (sebagai pemimpin) iaitu berbentuk ketaatan, tidak keluar dari mentaatinya, dan tidak menjatuhkannya. Tetapi (perbuatan yang perlu dilakukan oleh seseorang muslim adalah) dengan bersungguh-sungguh lebih mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala supaya Dia menghilangkan gangguan atau siksaan darinya, menolak kejahatannya, dan supaya Allah memperbaikinya (kembali taat kepada Allah dengan meninggalkan kezalimannya).” (Syarah Shahih Muslim, 12/232)
Masih banyak lagi nasihat dan perkataan para ulama lainnya yang senada dalam perkara ini jika mahu dimuatkan. Maka, fikir-fikirkanlah. Hargailah keamanan yang ada. Jangan sampai terjebak ke dalam fitnah yang lebih besar. Letakkanlah tawakkal kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Bukan dengan bergantung harap terhadap kaedah-kaedah taghut bertuhankan kebebasan suara bernama demokrasi! Puaskanlah dan biarkanlah dirimu dengan nash-nash al-Qur’an, as-Sunnah dan perkataan para salaf.
Fahamilah bahawa secara umumnya, bagaimana diri kita, begitulah pemimpin yang akan diangkat untuk kita. Jika mahu perubahan, maka lazimilah kesabaran dan ubahlah diri kita dengan kembali meneguhkan ketaqwaan kepada Allah di atas manhaj ilmu yang syar’i, aqidah yang sahih, dan ama-amal yang soleh serta menjauhi bid’ah-bid’ah yang sesat lagi menyesatkan. Wallahu a’lam.
3 comments:
salam
Masyarakat sering menuding jari kepada pemimpin negara, kepada parti memimpin negara atas segala masaalah dan persoalan yg terjadi kepadaa masyarakat dan negara mereka. Samaada masaalah itu berupa ekonomi, sosial maupun perpaduan.
Mereka selalu lupa untuk mengaitkan perkara yg berlaku itu sebagai sebab akibat musabab atas perlakuan mereka sendiri seperti maksud firman Allah yg menyebut zahir kerosakan dibumi dan lautan atas sebab tangan manusia sendiri.
Sebab utamanya adalah atas kejahilan memahami sunnah, sirah rasulullah sendiri. Atau terikut2 dengan amalan gulungan kufur yg tidak berpandukan syariat, akhirnya mereka masuk juga lubang biawak itu.
Tiada jalan pintas, seperti revolusi, copdita demonstrasi tunjuk kekuatan dengan memusnahkan harta awam sebagai ugutan merentap kuasa pihak berkuasa.
Jalan yg benar adalah mengikut jalan ilmu, pembaikan fahaman dan amalan. Pertahankan sunnah menjauhi method kuffar, yahudi dan nasrani.
wallahu'alam
Alhamdulillah.. ulasan yg menarik.. saya juga berpendapat yg sama seperti akhi..
wallahualam
-taufiqbelwael-
Penerangan yang benar selama pengetahuan ana...
Catat Ulasan