“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, Mei 23, 2011

Gejala Ikhtilath Dan Nilai Seorang Wanita

Gejala Ikhtilath Dan Nilai Seorang Wanita

Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


Pada hari ini gejala ikhtilath di antara lelaki dengan perempuan berlaku dengan meluas sekali. Seolah-olah seperti tiada siapa yang menyedari perkara tersebut termasuk suatu yang terlarang di sisi agama. Disebabkan hilangnya kesedaran itu jugalah, maka ia menjadi salah satu faktor yang mendedahkan kaum wanita kepada pelbagai bentuk ancaman keselamatan dan maruah.

Perkataan ikhtilath yang penulis gunakan ini adalah perkataan yang digunakan untuk menyebutkan percampuran atau pergaulan yang berlaku di antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram dalam satu-satu masa tertentu di tempat-tempat yang tertentu sama ada terbuka atau tertutup. Ini termasuklah juga dengan perbuatan saling pandang-memandang, mengadakan hubungan perasaan tanpa nikah, perbicaraan yang tidak syar’i, serta perbuatan bersentuhan atau bersalaman.

Dalam surah an-Nuur ayat 30 dan 31 Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kepada lelaki dan wanita beriman supaya saling menundukkan pandangan di antara satu dengan yang lain. Manakala dalam Surah al-Adzaab ayat 33, Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya wanita itu tinggal di rumah-rumah mereka. Membawa maksud supaya wanita itu tidak menonjolkan diri atau menyibukkan diri keluar (berkeliaran) sehingga terdedah kepada perhatian, pandangan, atau tontonan kaum lelaki asing (yang bukan mahram). Melainkan padanya terdapat perkara yg benar-benar diperlukan tanpa dapat dielakkan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَى

“...hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah terdahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)

Walaupun ayat ini zahir asalnya untuk isteri-isteri nabi, tetapi sebenarnya ia turut mencakup seluruh kaum wanita beriman secara umum. Kerana wanita beriman itu mengikuti isteri-isteri Nabi dan menyelisihi perilaku kaum wanita jahiliyyah. Ini antaranya sebagaimana dijelaskan dalam Tafsir al-Qurthubi dan Tafsir Ibnu Katsir.

Juga firman-Nya:

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ

“Maka wanita yang soleh adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada dengan apa yang Allah telah pelihara mereka.” (Surah an-Nisaa’, 4: 34)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah bersabda:

كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ

“Persoalan anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan kata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan angan-angan (keinginan), dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (Hadis Riwayat Muslim, 13/125, no. 4802)

Hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan di antara lelaki dan wanita yang saling memandang, saling berbual tanpa keperluan syar’i, bersentuhan atau bersalaman, serta apa yang disebutkan melalui hadis ini tentang zina adalah terlarang dan perlu dielakkan.

Jika kita teliti betul-betul, nescaya kita akan temui catatan-catatan yang sahih berkaitan wanita-wanita yang terdiri dari kalangan para sahabiyah di zaman Nabi. Yang mana mereka ini sifatnya amat pemalu. Mereka berusaha mengelak dari menjadi tatapan kaum lelaki dengan tetap mendiami rumah-rumah mereka. Jika mereka keluar pun, mereka akan keluar atas alasan yang syar’i dalam keadaan yang terjaga serta ditemani oleh mahram mereka.

Di antara sebab wanita dibenarkan keluar adalah seperti untuk solat berjama’ah, menuntut ilmu agama, dan beberapa yang lainnya yang diperlukan selagi mana berada dalam keadaan aman dari fitnah, mendapat izin dari wali atau suami, dan setelah hak-hak suami dan anak-anak ditunaikan dengan sempurna. Jika mereka keluar, diwajibkan pula untuk mendapat pengawasan atau ditemani oleh mahram, bebas dari ikhtilath, dan berpakaian dengan pakaian yang syar’i (menututp aurat).

Walaupun wanita dibenarkan untuk solat berjama’ah di masjid bersama dengan yang lainnya, Rasulullah tetap menegaskan bahawa solat terbaik bagi kaum wanita adalah di rumah mereka masing-masing. Untuk ke masjid pula, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyediakan pintu khas untuk para wanita bagi mengelakkan percampuran dengan kaum lelaki. Dalam solat, Islam mengasingkan pula saf wanita di belakang dan lelaki di hadapan. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

“Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis Riwayat Muslim, 2/435, no. 664)

Manakala ketika tamat sahaja solat (sebaik salam diucapkan), kaum wanita perlu segera beredar. Manakala kaum lelaki, mereka beranjak setelah para wanita selesai keluar terlebih dahulu.

Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha (salah seorang isteri Nabi). Beliau berkata:

أَنَّ النِّسَاءَ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُنَّ إِذَا سَلَّمْنَ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ قُمْنَ وَثَبَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَنْ صَلَّى مِنْ الرِّجَالِ مَا شَاءَ اللَّهُ فَإِذَا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ الرِّجَالُ

“Bahawasanya pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kaum wanita segera bergerak keluar (beredar) apabila mereka telah mengucapkan salam pada solat fardhu. Sementara itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan kaum lelaki yang solat bersama-sama beliau tetap berada di tempat mereka bersesuaian dengan apa yang dikehendaki Allah. Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bangun, maka mereka pun ikut bangun.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 3/378, no. 819)

Bagi majlis-majlis ilmu pula, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengasingkan (memisahkan) di antara lelaki dengan wanita. Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu menceritakan:

جَاءَتْ امْرَأَةٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ الرِّجَالُ بِحَدِيثِكَ فَاجْعَلْ لَنَا مِنْ نَفْسِكَ يَوْمًا نَأْتِيكَ فِيهِ تُعَلِّمُنَا مِمَّا عَلَّمَكَ اللَّهُ

Ada seorang wanita datang menemui Rasulullah lalu berkata, “Wahai Rasulullah, kaum lelaki telah pergi dengan membawa hadis-hadis daripada engkau. Maka luangkanlah satu hari untuk kami (kaum wanita) supaya kami dapat menemui engkau pada hari tersebut dan engkau mengajarkan kepada kami apa-apa yang telah diajarkan Allah kepada engkau.”

Rasulullah pun menjawab:

اجْتَمِعْنَ فِي يَوْمِ كَذَا وَكَذَا فِي مَكَانِ كَذَا وَكَذَا فَاجْتَمَعْنَ فَأَتَاهُنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَلَّمَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَهُ اللَّهُ

“Berkumpullah kamu pada hari ini dan ini, di tempat ini dan ini.”

Setelah itu, para wanita pun berkumpul di tempat yang dijanjikan tersebut. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menemui mereka dan mengajar mereka perkara-perkara yang telah diajarkan oleh Allah kepadanya. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/284, no. 6766)

Hadis daripada Ummu Salamah ini menunjukkan bahawa tidak boleh melakukan ikhtilath walaupun untuk menuntut ilmu. Sekiranya ia dibenarkan, sudah tentu kaum wanita akan duduk bersama-sama kaum lelaki di dalam majlis-majlis ilmu bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Manakala ulama terdahulu (dari kalangan salaf) menyatakan bahawa majlis ilmu yang melibatkan kehadiran lelaki dan wanita, ia perlu dipisahkan dengan diletakkan tabir yang menghijab (menutup). Iaitu Menutup kaum wanita dari pandangan kaum lelaki.

Ini antaranya berdalilkan ayat 53 dari Surah al-Ahdzaab atas alasan menjaga kesucian hati kaum lelaki dan wanita serta lebih mampu mengelakkan fitnah. Imam al-Qurthubi rahimahullah menjelaskan dalam Tafsirnya berkenaan ayat tabir tersebut (Surah al-Ahdzaab, 33: 53) adalah mencakupi seluruh kaum wanita walaupun asalnya ditujukan kepada isteri-isteri Nabi.

Dari itu, jika dalam urusan ibadah solat fardhu di masjid dan menuntut ilmu pun demikian keadaannya, maka apatah lagi selain dari perkara tersebut, tentu perlu lebih dijaga lagi.

Namun agak sedih hari ini, fitnah ikhtilath amat berleluasa bukan sahaja di pasar-pasar, di jalan-jalan, di pusat-pusat membeli-belah, di tempat-tempat kerja, atau di majlis-majlis walimah, tetapi juga telah sampai sehingga ke masjid-masjid dan pusat-pusat pengajian umat Islam.

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha sendiri pernah mengutarakan sesuatu apabila beberapa bentuk fitnah dari kalangan wanita mula berlaku. Beliau mengatakan:

لَوْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ الْمَسْجِدَ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ

“Sekiranya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat apa yang dilakukan oleh para wanita pada masa sekarang ini, nescaya beliau akan melarang mereka dari pergi ke masjid sebagaimana kaum wanita Bani Israel dilarang ke masjid.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 3/378, no. 822. Muslim, 2/438, no. 676)

Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Hamzah B. Abu Usaid al-Anshari daripada bapanya, bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbicara ketika berada di luar masjid sehinggalah berlaku percampuran lelaki dan wanita di tengah jalan. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda kepada kaum wanita:

اسْتَأْخِرْنَ فَإِنَّهُ لَيْسَ لَكُنَّ أَنْ تَحْقُقْنَ الطَّرِيقَ عَلَيْكُنَّ بِحَافَّاتِ الطَّرِيقِ فَكَانَتْ الْمَرْأَةُ تَلْتَصِقُ بِالْجِدَارِ حَتَّى إِنَّ ثَوْبَهَا لَيَتَعَلَّقُ بِالْجِدَارِ مِنْ لُصُوقِهَا بِهِ

“Hendaklah kamu melambatkan dalam berjalan (supaya berjalan di belakang), kerana kamu tidak berhak untuk memenuhi tengah-tengah jalan. Dan hendaklah kamu berjalan di tepi jalan.”

Sehingga ada seorang wanita yang serta-merta berjalan merapat ke dinding, hingga bajunya tersangkut pada dinding disebabkan terlalu rapat dengan dinding.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 14/16, no. 4588. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Sebenarnya bukan setakat itu ketegasan dalam menangani soal ikhtilath ini, malah sejak dari awal kecil lagi Nabi memerintahkan agar mendidik anak-anak berbeza jantina supaya tidak terlalu bebas bercampur-gaul. Biarpun sesama ahli keluarga, Islam tetap menggariskan beberapa batasan atau panduan tertentu bagi mereka. Antaranya ketika seawal usia 10 tahun lagi anak-anak berlainan jantina telah dilarang dari tidur bersama-sama dalam satu tempat tidur atau bilik. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مُرُوا أَبْنَاءَكُمْ بِالصَّلَاةِ لِسَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا لِعَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

“Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia 7 tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad, 11/369, no. 6756. Dinilai hasan oleh an-Nawawi, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)

Bayangkanlah, sekiranya di zaman Nabi dan para sahabat pun mereka tetap bersembunyi dan mengelakkan diri dari khalayak kaum lelaki. Yang mana pada masa tersebut kita ketahui orang-orang yang teguh beriman amat ramai serta mendominasi pula masyarakat.

Berbeza dgn zaman ini, lelaki yang tegar beriman semakin kurang. Yang beriman tetapi lemah pun ramai. Lelaki-lelaki fasiq dan suka mengambil kesempatan pula yang banyak berkeliaran. Yang kafir juga tidak kurang ramainya.

Maka, sepatutnya kaum wanita beriman pada hari ini wajib lebih berhati-hati dan perlu memiliki rasa malu yang tinggi dari menjadi tatapan lelaki-lelaki asing di luar. Apatah lagi khabar-khabar fitnah dan jenayah yang mengaitkan wanita dalam masyarakat hari ini begitu banyak sekali.

Apa yang penulis sebutkan ini adalah bagi mereka yang menutup aurat dengan baik. Sekiranya golongan yang menutup aurat dengan sempurna pun dengan tegas disarankan supaya menekuni rumah-rumah mereka dan menjauhi ikhtilath, maka apatah lagi kepada golongan wanita yang terang-terangan menzahirkan auratnya di hadapan umum?

Penulis mendoakan semoga mereka berserta diri ini diberi hidayah, kekuatan, serta petunjuk oleh Allah Subhanu wa Ta’ala agar segera dan sentiasa berlindung untuk menjauhi fitnah ikhtilath dengan mengikuti petunjuk agama yang murni ini. Semoga kita semua tidak menjadi fitnah di antara satu sama lain sebagaimana dikhabarkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam sabdanya:

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ

“Aku tidak meninggalkan fitnah sepeninggalanku yang lebih bahaya bagi lelaki melebihi fitnah wanita.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim – Muttafaq ‘alaih)

Saidina ‘Ali radhiyallahu ‘anhu pernah berkata kepada isterinya, (iaitu) Fathimah radhiyallahu ‘anha:

يا فاطمة ما خير ما للمرأة؟

“Wahai Fathimah, apa yang terbaik untuk seseorang wanita?” Fathimah menjawab:

أن لا ترى الرجال ولا يروها

“Hendaklah dia tidak melihat lelaki (yang bukan mahramnya) dan lelaki pun tidak melihatnya.” ‘Ali berkata lagi:

ألا تستحيون؟ ألا تغارون؟ يترك أحدكم امرأته تخرج بين الرجال تنظر إليهم وينظرون إليها

“Tidakkah kamu malu? Tidakkah kamu cemburu? Salah seorang di antara kamu membiarkan isterinya pergi ke khalayak kaum lelaki dan dia melihat mereka serta mereka (para lelaki) pun melihat mereka pula.” (Lihat: adz-Dzahabi, al-Kaba’ir, m/s. 171-172. Dinukil daripada: ‘Abdullah al-Jarullah, Mas’uliyyah al-Mar’ah al-Muslimah, m/s. 67)

Sebagaimana yang penulis sebutkan di awal tulisan, ikhtilath juga boleh berlaku melalui perbualan. Dalam Islam, seorang wanita tidak dibenarkan berbicara dengan suara lemah-gemalai seperti suara orang menggoda melainkan terhadap suami mereka. Sebaliknya hendaklah mereka berbicara dengan suara yang baik dan normal apabila ada keperluan yang syar’i.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلا مَعْرُوفًا

“... Janganlah kamu melemah-gemalaikan suara dalam berbicara sehingga menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik.” (Surah al-Ahdzaab, 33: 32)

Apa yang dimaksudkan dalam ayat ini berkenaan melembutkan suara adalah merujuk suara yang dilemah-gemalaikan atau dimanjakan seperti sedang menggoda atau seperti suara seorang isteri ketika bersama-sama suaminya. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi dan Tafsir Ibnu Katsir, 6/409)

Asal zahir ayat ini adalah untuk isteri-isteri nabi, tetapi sebenarnya ia juga meliputi seluruh wanita mukmin kerana wanita yang mukmin itu mengikuti isteri-isteri nabi.

Pada hari ini, ikhtilath bukan sahaja berlaku secara umum di tempat-tempat terbuka ataupun tertutup yang berlaku secara langsung. Tetapi seiring dengan zaman teknologi dan gadget canggih hari ini, ikhtilath boleh berlaku di mana-mana sahaja. Antaranya melalui pelbagai jenis media, perbualan telefon, pesanan sms, aplikasi video, sehinggalah di alam maya seperti internet. Ikhtilath hari ini berlaku dengan lebih dahsyat lagi apabila munculnya pelbagai perisian perbualan seperti Yahoo Messenger! dan juga laman-laman sosial seperti facebook, twitter, friendster, dan seumpamanya yang mana pengguna boleh berkongsi banyak perkara menggunakannya.

Sehingga golongan yang tidak terlibat juga adakalanya turut terfitnah dengan sebab penyalah-gunaan pelbagai aplikasi tersebut. Mana tidaknya, apabila masing-masing individu berlumba-lumba untuk memaparkan, menayangkan, menyebarkan, dan menunjukkan gambar-gambar atau rakaman-rakaman video mereka dengan pelbagai gaya tersendiri untuk tatapan dan hidangan ramai.

Entah kenapa akhir-akhir ini manusia begitu ghairah menyebar-luaskan gambar-gambar dan video-video tentang diri mereka di sana sini. Ia seakan menjadi satu hobi dan kegilaan. Masing-masing memanfaatkan semaksimum mungkin fungsi yang disediakan dari aplikasi “tag photo atau video” bagi mengajak seberapa ramai individu lain yang boleh dicapai dalam laman sosial berkaitan supaya sama-sama melihat dan menonton mereka.

Akhirnya tersebarlah gambar-gambar mereka dengan pelbagai aksi sama ada yang menutup aurat, terdedah aurat, separa telanjang, menggoda, dan sebagainya. Sesiapa sahaja boleh menonton dan menatap gambar-gambar mereka. Sama ada mereka sedar atau tidak, wajah-wajah mereka juga mungkin turut menjadi bahan yang dinikmati manusia-manusia berpenyakit dalam hatinya. Tidak ada lagikah perasaan malu dalam diri mereka?

Selain gambar dan video, laman-laman sosial ini turut menyediakan ruang sembang yang agak luas kepada sesiapa sahaja. Dari sini berlakulah sama ikhtilath melalui tulisan dan chatting di antara lelaki dan perempuan. Sambil berbual mereka bergurau. Sambil bergurau, mereka mengacah dan menggoda pula.

Demikianlah jika perasaan malu telah hilang, apa sahaja mungkin berlaku dan bebas untuk dilakukan. Perkara maksiat sudah dianggap biasa tanpa ada rasa bersalah dan berdosa. Sampai para nabi terdahulu pun pernah mengungkapkan, “Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah sesuka hatimu.”

Apa yang lebih merisaukan di sebalik itu, mereka sendiri pun tidak tahu ke mana dan siapa akhirnya yang akan memanfaatkan perbualan, video, dan gambar-gambar mereka tersebut. Boleh jadi mungkin ada orang jahat, pendengki, perogol, mahupun penjenayah yang memerhati untuk mengambil kesempatan.

Perkara-perkara seperti inilah akhirnya mampu mengundang pelbagai bentuk fitnah dan gejala buruk tidak dijangka. Sekaligus mungkin juga membantu meningkatkan kadar jenayah sedia ada yang memangsakan kaum wanita.

Dari itu selaku orang-orang beriman dari kalangan wanita, sedarilah persoalan ini. Jangan terlalu ikutkan nafsu. Ambillah petunjuk agama dalam menjaga diri-diri kalian. Tutupilah apa yang telah Allah tutupi buat diri-diri kalian. Nilailah diri-diri kalian dengan harga yang mahal. Jangan biarkan dengan mudah dan semurah itu untuk diri kalian ditonton, ditatapi, dan dinikmati oleh lelaki-lelaki yang berpenyakit hatinya di luar sana.

Sebelum anda meminta orang lain supaya menundukkan pandangan terhadap anda, sebenarnya anda terlebih dahulu perlu berusaha melindungi diri anda dengan apa yang telah disyari’atkan oleh Islam. Iaitu dengan tidak membiarkan diri anda dicanang dan disepah merata tempat.

Jadilah wanita muslim yang beriman. Wanita beriman itu bukan wanita murahan. Kerana wanita beriman itu amat mahal lagi berharga. Yang harganya tidak ternilai sedikitpun dengan helaian wang ringgit. Melainkan dengan apa yang telah dinilai dan ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala bagi diri-diri mereka. Mereka menerima, bersyukur, dan redha dengannya. Ganjaran buat mereka adalah Syurga Allah yang luas terbentang.

Rasulullah Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

“Apabila seorang wanita telah mendirikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya (atau kemaluannya), serta mentaati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, “Masuklah engkau ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang engkau mahu.”” (Hadis Riwayat Ahmad, 3/199, no. 1661. Ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, 5/34, no. 4598. 8/339, no. 8805. Ibnu Hibban, Shahih Ibnu Hibban, 9/471, no. 4163. Hadis hasan lighairihi)

Wallahu a’lam...

9 comments:

cahaya ilahi berkata...

tahniah..catatan yg baik sekali...semoga muslimat di luar sn mengambil ibrah(pengajaran) daripada catatan ini..teruskan mengupas isu2 seperti ini...^^

tapong66 berkata...

salam tahniah,,bangga dgn dakwah saudara,,ada tak cdgn2 ber nas dn ber hadis pe yg dilakukn oleh yg awalun utk mengekang keadaan ini dr terus memudhoratkn umat,,terus kan dakwah saudara,,,sy kagum dan minat utk menafaatkn ilmu ini,,wslm.alhmd.lah

Harun berkata...

Bagaimana pula Ikhtilath Aisyah dengan Umar?

كنت آكل مع النبي صلى الله عليه وسلم حيسا في قعب فمر عمر رضي الله تعالى عنه فدعاه فأكل فأصابت أصبعه أصبعي فقال حس أو أوه

“Saya makan halwa bersama Rasulullah dalam satu bejana yang dalam, Umar melalui maka Rasulullah memanggil beliau, beliau makan maka bersentuhanlah jarinya dan jariku, Umar berkata oh!"

- Sunan al-Kubra Al-Nasai jilid ke-6

Tidakkah ini menghina Ummul Mukminin?
Sila siarkan kalau berani wahai Wahabi.

Abu Numair berkata...

Hadis tersebut berlangsung sebelum turunnya ayat Hijab di mana para wanita tidak dilarang mendedahkan dirinya di khalayak kaum lelaki.

Berikut hadis penuhnya:

عن عائشة رضي الله عنها، قالت: "كنت آكل مع
النبي صلى الله عليه وسلم حَيساً، فمر عمر، فدعاه فأكل، فأصابت يده إصبعي، فقال: حسَّ! لو أطاع فيكُنَّ ما رأتكن عينٌ، فنزل الحجاب"

Jangan potong sekerat-sekerat...

Harun berkata...

Fokusnya pada tajuk Ikhtilat iaitu ada bersentuhan jari, betul tak?

Jangan nak tukar tajuk la... Sila bagitau hadis daif ka sahih.

Nawawi berkata...

Ayat hijab adalah termasuk larangan ikhtilath.

Harun berkata...

Astaghfirullah, mengucap tuan-tuan, takkan lah Ummul mukminin bersentuhan dengan Umar Al-Khattab, di depan Rasul pulak tu,

Kalau Hadis ini ditemui dari kitab Hadis Syiah pasti heboh tanpa mencari kesahihan sanadnya dulu.

Tanpa Nama berkata...

Zaman ini Umat Islam terdedah dengan perzinaan melalui alat teknologi iaitu melalui handset, yahooo messenger, facebook dan youtube.com. Ramai di kalangan umat Islam tanpa segan silu membogelkan diri di hadapan webcam untuk berchatting. Nauzubillah

Tanpa Nama berkata...

Salam.
Semakin canggih dan moden zaman itu. Semakin canggih dan modenlah cara maksiat disebarluaskan melalui teknologi.