“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Isnin, Mei 09, 2011

Perpaduan Itu Bersama Pemerintah

Perpaduan Itu Bersama Pemerintah

Oleh: Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com


Saranan supaya dua buah parti politik PAS dan UMNO bersatu adalah perkara yang perlu diterima baik. Tidak patut dibiarkan begitu sahaja dua kelompok umat Islam saling bertelagah sesama sendiri.

Pertelagahan di antara dua kelompok umat Islam biasanya akan membuka ruang kepada musuh di sekeliling dan orang-orang kafir untuk mengambil kesempatan tidak baik.

Oleh kerana itulah Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا

“Dan jika ada dua golongan dari mereka yang beriman itu bertelagah hendaklah kamu damaikan antara keduanya.” (Surah al-Hujuraat, 49: 9)

Juga sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

“Janganlah kamu saling membenci dan saling membelakangi, tetapi jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 19/11, no. 5606)

Oleh itu, berdamailah di atas dasar persaudaraan sesama Islam. Bersatulah di atas prinsip-prinsip ahlus sunnah wal-jama’ah bertunjangkan al-Qur’an dan al-hadis di atas kefahaman para salaf. Tinggalkan sikap saling berpecah, caci-mencaci, memaki-hamun, saling mendedah aib, dan seumpamanya. Sikap-sikap seperti ini sedikit pun tidak akan menguntungkan umat Islam. Sebaliknya akan lebih memburukkan keadaan dengan memanjangkan sengketa yang merugikan dan melemahkan umat.

Imam Qatadah rahimahullah (Wafat: 118H) berkata:

ولا تفرّقوا واذكروا نعمة الله عليكم"، إنّ الله عز وجل قد كره لكم الفُرْقة، وقدّم إليكم فيها، وحذّركموها، ونهاكم عنها، ورضي لكم السمعَ والطاعة والألفة والجماعة، فارضوا لأنفسكم ما رضى الله لكم إن استطعتم، ولا قوّة إلا بالله

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla tidak menyukai adanya perpecahan terhadap kamu. Allah telah menjelaskannya kepada kamu, memberi peringatan tentang perpecahan, dan melarang kamu dari terlibat dengannya. Sebaliknya Allah meredhai bagi kamu kepatuhan, ketaatan, perpaduan, dan al-jama’ah. Oleh sebab itu, redhailah untuk diri kamu sedaya-upaya apa sahaja yang telah Allah redhai bagi kamu. Bahawasanya tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah.” (Tafsir ath-Thabari, 7/74)

Hudzaifah Ibn al-Yaman radhiyallahu ‘anhu pernah bertanya kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di masa jahiliyyah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Adakah setelah kebaikan ini ada keburukan?” Rasulullah menjawab, “Benar, akan tetapi terdapat asap (kesamaran) padanya.” Aku bertanya, “Apakah asap (kesamaran) tersebut?” Beliau bersabda, “Iaitu orang-orang yang mengambil petunjuk selain daripada petunjukku. Engkau mengenali mereka dan mengingkarinya.” Aku bertanya, “Adakah setelah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Beliau bersabda, “Benar, para penyeru kepada pintu-pintu jahannam. Sesiapa yang menyambut seruan mereka, maka mereka akan dicampakkan ke dalam jahannam (kebinasaan).” Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.” Beliau menjawab, “Mereka berkulit sama seperti kita dan berbicara dengan bahasa kita.” Aku bertanya, “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya aku bertemu dengan situasi seperti itu?” Beliau menyatakan, “Hendaklah kamu tetap bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka.” Aku bertanya, “Bagaimana sekiranya tidak ada jama’ah dan tidak pula ada pemimpin bagi umat Islam?” Beliau menjawab, “Jauhilah semua kelompok-kelompok itu walaupun engkau tinggal dengan menggigit akar kayu sehingga kematian datang menjemput dalam keadaan engkau seperti itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, 21/478, no. 6557)

Hadis ini dengan jelas memerintahkan umat Islam supaya sentiasa bersatu dan tidak memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintah. Terutamanya di ketika terjadinya fitnah dan pergolakan.

Lebih menguatkan perkara ini adalah hadis seterusnya juga daripada Hudzaifah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَكُوْن بَعْدِيْ أَئِمَّة لاَ يَهتَدُوْنَ بِهُدَايَ وَلاَ يَسْتَنُوْنَ بِسُنَّتِيْ وَسَيَقُوْمُ فِيْهِمْ رجَال قُلُوْبُهُم قُلُوْبُ الشَّيَاطِيْنَ فِيْ جِثْمَانِ إِنْسِ قَالَ قُلْتُ كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ قَالَ تَسْمَعُ وَتَطِيْعُ لِلْأَمِيْرِ وَإِنْ ضَرَبَ ظَهْرَكَ وَأَخَذَ مَالَكَ فَاسْمَعْ وَأطِعْ

Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku, dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah mereka orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam bentuk manusia.” Aku (Hudzaifah) bertanya, “Apa yang perlu aku lakukan jika aku menemuinya?” Beliau menjawab, “(Hendaklah) kamu mendengar dan taat kepada amir (pemerintah), walaupun ia memukul punggungmu dan merampas hartamu, tetaplah mendengar dan taat.” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 3/387, no. 3435)

Kata Imam an-Nawawi rahimahullah:

وفي حديث حذيفة هذا لزوم جماعة المسلمين وإمامهم ووجوب طاعته وإن فسق وعمل المعاصي من أخذ الأموال وغير ذلك فتجب طاعته في غير معصية وفيه معجزات لرسول الله صلى الله عليه و سلم وهي هذه الأمور التي أخبر بها وقد وقعت كلها

“Dalam hadis riwayat Hudzaifah ini terdapat pelajaran berharga, iaitu perintah untuk sentiasa bersama-sama jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka serta kewajiban mentaati mereka walaupun mereka itu fasiq dan melakukan banyak perkara maksiat seperti merampas harta dan seumpamanya. Maka wajib mentaati mereka dalam perkara selain maksiat. Hadis ini juga adalah merupakan mukjizat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di mana semua perkara yang beliau khabarkan telah pun terjadi.” (Syarah Shahih Muslim, 12/238)

Dua hadis ini adalah antara yang paling jelas bagi bab ini, kerana Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah menyebutkan sifat-sifat pemimpin di mana mereka tidak mengikuti petunjuk Rasulullah dan tidak pula melaksanakan sunnah-sunnahnya. Itu adalah kemuncak kemungkaran serta penyelewengan dan kekerasan yang paling jelas dilakukan, di mana mereka (para pemimpin) tidak mengamalkan ajaran Rasulullah dalam urusan diri mereka, keluarga, dan rakyat. Walau demikian sikap mereka, Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam tetap memerintahkan supaya mereka ditaati (tidak ditentang kepimpinannya).

Kita tidak dibenarkan mengingkari kepimpinan mereka selagi mana mereka adalah muslim dan menegakkan solat berserta syi’ar-syi’arnya. Ini sebagaimana dijelaskan dalam banyak hadis.

Berkenaan beberapa kesalahan yang mereka lakukan, ia sama sekali bukan tiket untuk kita melepaskan tali ketaatan terhadap kepimpinannya. Kesalahan mereka adalah urusan yang dipertanggungjawabkan ke atas diri mereka sendiri. Ia nanti akan dihisab dan diberi pembalasan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Adapun urusan kita dengan mereka, adalah apa yang dibebankan ke atas kita berdasarkan dalil-dalil yang sahih, tidak lebih dari itu. Kita sedikitpun tidak diperintahkan supaya mencelanya, mengaibkannya, menentangnya, memeranginya, mahupun menjatuhkannya. Tidak juga diperintahkan supaya keluar dari ketaatan terhadapnya dengan membina kumpulan-kumpulan baru bertindak sebagai organisasi pembangkang dan penentang! Bahkan Rasulullah memerintahkan supaya kita meninggalkan kelompok-kelompok yang menyeru kepada perpecahan. Iaitu kelompok-kelompok yang memisahkan diri dari ketataan terhadap pemerintah. Rasulullah menamakan kelompok-kelompok tersebut sebagai “penyeru kepada pintu-pintu jahannam.”

Hadis-hadis yang disebutkan ini memiliki isyarat dengan lafaz "Akan ada sepeninggalanku nanti...". Menunjukkan di sini bahawa keadaan atau situasi tersebut berlaku setelah perginya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Hadis tersebut tidak merujuk kepada mana-mana pemerintah serta mana-mana zaman secara khusus, sama ada zaman Khulafa'ur Rasyidin, Bani Umayyah, 'Abbasiyyah, Utsmaniyyah, mahupun zaman demokrasi hari ini. Maka, ia kembali umum kepada mana-mana jua zaman selagi mana masih ada pemerintah muslim yang menegakkan syi'ar-syi'ar solat.

Bahkan selain hadis ini, terdapat pula pesanan ‘Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu kepada Suwaid B. Ghaflah yang lebih menguatkan lagi.

Suwaid B. Ghaflah mengkhabarkan:

قَالَ لِي عُمَرُ: يَا أَبَا أُمَيَّةَ، إِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَلْقَاك بَعْدَ عَامِي هَذَا، فَاسْمَعْ وَأَطِعْ وَإِنْ أُمِّرَ عَلَيْك عَبْدٌ حَبَشِيٌّ مُجْدَعٌ، إِنْ ضَرَبَك فَاصْبِرْ، وَإِنْ حَرَمَك فَاصْبِرْ، وَإِنْ أَرَادَ أَمْرًا يَنْتَقِصُ دِينَك فَقُلْ: سَمْعٌ وَطَاعَةٌ، دَمِي دُونَ دِينِي، فَلاَ تُفَارِقَ الْجَمَاعَةَ

‘Umar berkata kepadaku, “Wahai Abu Umayyah (Suwaid), mungkin kamu masih hidup setelah peninggalanku nanti, maka taatilah pemimpinmu walaupun ia seorang hamba berketurunan Habsyi yang cacat hidungnya, jika ia memukul (menzalimi) kamu maka bersabarlah, bila ia menghalang hak kamu maka bersabarlah, bila ia mengajak kepada perkara yang merosakkan urusan dunia kamu, maka katakanlah, “Kami dengar dan mentaati dengan darah kami, bukan dengan agama kami.” Janganlah kamu berpecah dari al-Jama’ah.” (Atsar Riwayat al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/38 dengan sanad yang sahih. al-Khallal, as-Sunnah, no. 54. Ibnu Abi Syaibah, al-Mushannaf, 12/544, no. 34400. Al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 8/159, no. 16405)

Imam al-Ajurri rahimahullah (Wafat: 360H) menjelaskan:

من أُمِّر عليك من عربي أو غيره، أسود أو أبيض، أو أعجمي، فأطعه فيما ليس لله عَزَّ وَجَلَّ فيه معصية، وإن ظلمك حقًّا لك، وإن ضربكَ ظلمًا، وانتهكَ عرضك وأخذ مالك، فلا يَحملك ذَلِكَ عَلَى أنه يَخرج عليه سيفك حتَّى تقاتله، ولا تَخرج مع خارجي حتَّى تقاتله، ولا تُحرِّض غيرك عَلَى الخروج عليه، ولكن اصبر عليه

“Sesiapa pun yang menjadi pemimpin ke atas kamu (selagi mana dia muslim), sama ada berketurunan ‘Arab atau selainnya, hitam atau putih, atau selain bangsa ‘Arab, maka hendaklah kamu taat pada apa yang diperintahkannya melainkan pada perkara maksiat kepada Allah ‘Azza wa Jalla (maka jangan kamu ikuti). Dan walaupun dia menzalimi kamu, menyakiti kamu, memukul kamu dengan zalim, merampas harta dan hak-hak kamu, maka janganlah dengan sebab semua itu menjadikan kamu bertindak memeranginya dengan pedang (senjata), dan janganlah kamu keluar bersama-sama kaum khawarij sehingga menentangnya, dan juga jangan sampai kamu menghasut orang lain untuk keluar dari ketaatan terhadapnya, tetapi hendaklah kamu tetap bersabar.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/40)

Mungkin akan ada yang beralasan dengan akta kebebasan bersuara dan hukum demokrasi. Namun bagi kita yang beriman dan benar-benar taat menjunjung al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi, hak kebebasan bersuara dan hukum demokrasi tidaklah lebih tinggi dari Hukum Allah. Demokrasi bukan alasan untuk berpecah meninggalkan hadis-hadis Rasulullah.

Maka apatah lagi pemerintah kita yang ada pada hari ini jelas jauh lebih baik dari apa yang disifatkan oleh hadis tersebut! Jadi, di mana hendak kita campakkan pesan-pesan Rasulullah ini?

Dalam sebuah atsar sahabat daripada ‘Abdullah B. Abi Aufa ketika dia diajukan persoalan pemimpin yang menzalimi rakyat oleh Ibnu Jumhan - beliau pun berkata:

عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ إِنْ كَانَ السُّلْطَانُ يَسْمَعُ مِنْكَ فَأْتِهِ فِي بَيْتِهِ فَأَخْبِرْهُ بِمَا تَعْلَمُ فَإِنْ قَبِلَ مِنْكَ وَإِلَّا فَدَعْهُ فَإِنَّكَ لَسْتَ بِأَعْلَمَ مِنْهُ

“Hendaklah kamu sentiasa bersama as-sawadul a’dzam. Sekiranya engkau mahu pemimpin tersebut mendengar nasihatmu, maka datangilah rumahnya dan beritahu kepadanya apa-apa yang engkau ketahui sehingga ia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah. Kerana kamu tidak lebih tahu daripada dia.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 32/157, no. 19415. Lihat tahqiq Syu’aib al-Arnauth. Dalam Majmu’ az-Zawa’id, 5/414, no. 9163 - al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan ath-Thabrani, dan para perawi Ahmad adalah perawi tsiqah.” Dinilai hasan oleh al-Albani, Dzilal al-Jannah, 2/143, no. 905 dan Abdus Salam Barjas dalam Mu’ammalatul Hukkam)

Maksud as-sawadul a’dzam dalam hadis ini adalah merujuk golongan yang ramai yang melazimi di atas manhaj para sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in walaupun nanti ia menjadi sedikit jumlahnya pada satu-satu masa menuju akhir zaman. Termasuk as-sawadul a’dzam adalah golongan yang melazimi kebenaran dan bersatu dalam mentaati pemerintah.

Berkata Imam Ibnu al-Atsir rahimahullah:

وفيه [ عليكم بالسَّوادِ الأعْظَم ] أي جُمْلة النَّاس ومُعْظَمهم الذين يجتمعون على طاعة السُّلطان وسُلُوك النَّهج المُسْتقيم

“Dan yang dimaksudkan dengan 'Alaikum bi as-sawadul a'dzam (kamu di atas as-sawadul a’dzam) adalah sekumpulan besar manusia yang berhimpun di dalam mentaati sultan (pemerintah) dan berjalan di atas jalan yang benar (lurus).” (Rujuk: Ibnul Atsir, an-Nihayah fii Gharib al-Hadits, 2/1029)

Sesiapa yang benar-benar ikhlas dalam persaudaraan dan menekuni khabar-khabar Rasulullah dengan baik, nescaya dia akan membenci persengketaan dan perpecahan. Oleh itu, bersatulah dan taatilah kepimpinan pemerintah yang ada pada hari ini atas dasar mentaati al-Qur’an dan as-Sunnah. Tinggalkanlah doktrin dan fikrah sesat gemar berpecah-belah anti pemerintah yang sejarahnya dipelopori kaum sesat khawarij.

Tulisan Berkaitan Sebagai Rujukan dan Tambahan Maklumat:









Wallahu a’lam…

0 comments: