“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Khamis, Jun 12, 2008

Pandanglah Mereka Dengan Tauhid

Pandanglah Mereka Dengan Tauhid

http://an-nawawi.blogspot.com

Semalam kira-kira jam 18:45 petang mengikut angka telefon tangan-ku - aku sampai di ruang letak kenderaan rumahku di Shah Alam setelah seminggu di kampung. Sebaik sampai dan keluar dari tempat letak kereta/motorsikal, aku diam sebentar di suatu sudut tiang kaki lima melepaskan penat jauhnya perjalanan. Lebih 15 minit aku mengambil masa duduk termenung bersambilan melihat keadaan sekeliling sebelum berganjak menuju masuk ke rumah. Rasa keletihan yang amat sangat membuatkan aku mengambil keputusan mudah berehat sebentar sebelum terus masuk. Di sinilah aku melepaskan pandangan ke beberapa kawasan sekitar.

Di suatu ruang, aku terlihatkan tiga individu wanita yang sedang berbual-bual dalam bahasa yang tidak aku fahami, tapi masih dapat aku kenali sebagai salah satu bahasa kaum India (Tamil). Dari susuk tubuhnya kelihatan begitu tua dan kelihatannya mereka berbual sambil duduk berderetan bersama-sama. Dari raut wajahnya yang dapat aku cam-kan, kelihatan memang mereka betul-betul di usia yang tua. Dari cara dan gaya gerakan tangannya yang sedikit longlai juga secara tidak langsung menggambarkan kepadaku betapa menandakan lewatnya usia mereka. Lemahnya sudah upaya mereka. Suaranya juga agak kesurupan tidak sehebat orang muda.

Dengan raut wajah tua yang tampak dengan beberapa lekuk cengkung di pipi serta kedutan kulit dahi dan tangan, tiba-tiba ia membuatkan hatiku begitu sayu dan tersentuh. Apakah nanti wanita yang bergelar nenek itu bakal menghadapi ancaman keras di alam satu lagi yang bakal menyusul? Apakah mereka bakal dihadapkan dengan pelbagai siksaan dasyat lagi mengerikan dari Tuhan yang empunya semesta alam?

Secara umumnya (tanpa menujukan kepada mereka), itulah yang bakal diterima oleh kaum yang tidak berpegang dengan kalimat Tauhid yang haq sebagaimana yang telah dijanjikan melalui kalam al-Qur’an dan lisan nabi terakhir bernama Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam juga nabi-nabi sebelumnya.

Terdetik di hatiku terpancar sebuah perasaan kasihan untuk menyampaikan apa yang haq di atas landasan hidup yang benar. Namun, aku bukanlah jua seorang insan yang begitu kuat untuk melaksanakan semua itu walau mampu berbicara dengan bahasa yang saling difahami. Juga bukanlah seorang insan yang tabah berupaya mengorak langkah mendekati mereka dengan langkah dakwah mengajak mereka kepada yang haq.

Sekali lagi, aku tumpahkan perasaan tersebut di atas lembaran maya ini agar dapat sama-sama direnungkan oleh para pembaca. Sebagaimana juga catatan tulisanku sebelumnya. Mungkin ada cara yang mampu diusulkan buatku sebagai suatu alternatif kemudiannya.

Selain cara tersebut, apa yang aku mampu lakukan adalah sekadar berakhlak baik dengan mereka. Mungkin salah satu usaha yang tersangat kecil untuk diperkirakan. Namun, contoh itulah yang semampunya dari diriku. Antara lain mungkin dengan bertegur-sapa apabila melintasi mereka di mana-mana atau seandainya kebetulan berselisih jalan dengan mereka. Mengungkap kata “apa khabar makcik?” dan yang sewaktu dengan kalimat tersebut, yang mana ku rasakan salah satu ungkapan yang sesuai menunjukkan pekerti sebagai seorang insan. Juga menjawab pertanyaan mereka dengan sebaik-nya seandai di-aju dan diminta pertolongan.

Jauh di sudut hati, sentiasa terpahat dan penuh harap agar kelak mereka sempat mengenali kalimah yang benar itu. Jauh di lubuk jiwa ini meminta semoga mereka terbuka hati untuk sebuah kebenaran hakiki dan pintu hidayah sentiasa dibukakan untuk mereka masuki.

Aku juga berdoa semoga munculnya insan-insan yang di atas jalan kebenaran dengan akhlak-akhlak sunnah yang penuh prihatin untuk mendekati orang-orang seperti mereka. Semoga hiba dan sayu hatiku mampu terubat dan berasa sedikit tenang. Semoga aku juga mampu untuk melakukan dakwah buat insan-insan seperti mereka. Itulah sebahagian dakwah yang besar iaitu dengan mengajak kepada Islam.

.... Sambil berjalan menuju ke pintu rumahku, melenyapkan pandangan dari mereka bertiga, beberapa ayat al-Qur’an menerpa menggantikan pandangan sebelumnya ...

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, 60: 8)

“...Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa serta bersuku-puak supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujuraat, 49: 13)

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Surah Ali Imran, 3: 159)

“Ajaklah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah an-Nahl, 16: 125)

2 comments:

Tanpa Nama berkata...

subhanallah...itulah cetusan yang sama yang selalu muncul di benak fikiran...apabila melihat makcik cleaner india kat flat ni dan makcik pakcik yang agaka berumur dalam LRT.timbul rasa bersalah...adakah diri sendiri ini dah lakukan sesuatu yang mampu dilakukan?....'ala kulli hal,semoga kita tergolong dikalangan orang yang dapat mengamalkan dan menunjukkan akhlaq yang baik kepada masyarakat,sentiasa memperbaiki diri dan akhirnya Moga ALLAH membuka pintu hati mereka untuk ISLAM...insya ALLAH.

saljuhumairah berkata...

Assalamualaikum..w.b.t
untuk pengetahuan...ini kali pertama saya memberi komen untuk blog yang amat saya salute...
entry "Pandaglah Mereka Dengan Taudid" membuka ruang pemikiran yang mendalam jika difikir secara halus...blog ini sungguh menarik dan memberi kesan yang mendalam terutama zaman sekarang manusia nya yang semakin sibuk..makanan rohani amat penting supaya manusai tidak mudah lupa dan lalai selain usaha pemburuan ilmu-ilmu harus diteruskan selagi nyawa dikandung badan....

saya amat menyokong saudara...teruskan mengarang mendekatkan dan membuka lagi pemikiran pelayar-pelayar maya....

jika boleh, saya ingin meminta kebenaran saudara untuk meletakkan link dan beberapa entry kedalam blogs saya yang tidak punya apa2. sekurang2nya meluaskan lagi dan menambah pengetahuan pembaca...

Jika boleh saya ingin benar untuk berjumpa saudara, saya terasa banyak yang kurang dalam diri saya...

saya amat risau terpengaruh dengan pelbagai penggaruh didalam ajaran agama islam sendiri...yang banyak kelompok2 yang memeningkat...

insyaAllah...saya sokong usaha saudaru.