“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Rabu, Oktober 15, 2008

Jangan Takut Untuk Belajar

Jangan Takut Untuk Belajar

http://an-nawawi.blogspot.com

Pada masa kini, kaedah untuk belajar ada banyak caranya. Tapi, apa itu yang dimaksudkan dengan belajar?

Secara mudahnya, belajar ialah suatu proses mendapatkan (menguasai) ilmu, kemahiran, atau menambahkan maklumat untuk keperluan tertentu.

Belajar juga memerlukan kita untuk berguru. Berguru adalah seseorang yang memiliki ilmu yang kurang (rendah), belajar kepada seseorang yang tinggi ilmunya (yang banyak maklumatnya) dalam skop yang dimaksudkan. Pada masa kini, tidak dapat dinafikan bahawa kaedah dan sarana untuk berguru itu sangat banyak sekali dan mungkin berbeza-beza di antara satu individu (atau kumpulan) dengan individu yang lainnya.

Mungkin kaedah berguru tidak sahaja boleh dilakukan dengan cara berhadapan (face to face) sahaja, iaitu dengan tanpa menafikan bahawa kaedah berhadapan (dengan guru) adalah antara yang terbaik. Sebagaimana kumpulan ilmuan yang terdahulu dan lebih awal dari kita sendiri banyak sekali meninggalkan ilmunya melalui buku-buku tertentu (menurut skop ilmu masing-masing) yang sehingga kini menjadi rujukan, panduan, dan bahan kajian. Perlu kita akui dan sedari, pada saat kemudahan sains dan teknologi yang meletus dengan begitu hebat sekali di era ini, ia secara tidak langsung sekaligus membolehkan kita untuk belajar dengan cara yang antaranya melalui pembacaan dari medium berupa buku, e-book, internet, website, majalah, dan pelbagai lagi. Selain itu, ia juga membolehkan kita untuk belajar berpandukan dari medium berupa VCD (rakaman video), rakaman audio (seperti mp3), berdialog di internet (chatting), bertukar ilmu melalui telefon dan e-mail, serta pelbagai lagi. Malah, baru-baru ini saya menemukan satu kaedah belajar yang diuruskan oleh sebuah universiti iaitu cara belajar secara online. Mendapatkan ijazah juga secara online, yang mana ianya diuruskan oleh universiti-universiti di luar negara. Sebenarnya, semua ini bukanlah suatu perkara yang menghairankan pada masa ini.

Kalau mungkin sebelum ini kita menonton rancangan memasak untuk menguasai sesuatu menu yang baru, baru-baru ini saya menjumpai pelbagai jenis VCD yang menyediakan kepada kita cara-cara untuk mempelajari solat sama ada VCD untuk anak-anak kecil atau pun untuk peringkat umur yang umum. Saya melihatkan ia sangat berkesan sekali dan mudah untuk difahami. Ia juga dilengkapi dengan buku panduan yang lengkap dengan hadis-hadis dan terjemahan bahasa melayu. Hasil daripada VCD tersebut, saya sendiri telah berjaya memanfaatkannya bagi tujuan membantu dan mengajak beberapa orang rakan untuk sama-sama memperbaiki solat.

Kesimpulan dari VCD solat tersebut membuatkan saya berfikir bahawa alasan tidak sempat untuk belajar agama dan tidak tahu di mana ada kelas agama adalah tidak relevan lagi pada masa ini. Kerana kaedah dan medium untuk belajar itu kini ada pelbagai. Buku-buku terjemahan yang mudah dan mesra pembaca juga sudah banyak memenuhi pasaran. Penulisan-penulisan yang ilmiyah bersumberkan al-Qur’an dan hadis juga sudah mula menyebar di pasaran. Rakaman-rakaman kuliah (seperti format MP3) juga sudah begitu banyak boleh didapati secara percuma di internet. Janganlah hanya berkhayal untuk memuat turun mp3 lagu-lagu yang tidak senonoh, tetapi kita lupa (melupakan) bahawa di sana juga terdapat rakaman audio mp3 yang lebih bermanfaat untuk agama kita.

Suatu yang tidak perlu dihairankan jika seseorang yang asas pendidikannya adalah biologi, tiba-tiba dia begitu mahir dalam bidang komputer dan IT (teknologi maklumat) sama ada mahir dalam membangunkan sebuah website, mengendalikan aplikasi php, menyelesaikan permasalahan hardware, atau mungkin software sekaligus. Malah, mungkin juga dia begitu mahir dalam beberapa bidang tertentu untuk satu-satu masa. Malah sahabat saya sendiri yang merupakan seorang pelajar di dalam jurusan kimia industri, dia begitu mahir dalam bidang graphic design dengan menggunakan beberapa jenis perisian komputer tertentu. Malahan dia tahu membezakan perisian yang mana adalah terbaik untuk rekaan tertentu. Dia juga mahir dalam flash animation. Saya pernah menanyakan dari mana dia belajar? Dia menjelaskan bahawa dia hanya mempelajarinya dari beberapa sumber dari internet di samping minat yang mendalam dalam bidang tersebut. Maka, di sini jelas bahawa ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Seperti kata peribahasa “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Langkah ke seribu itu bermula dengan langkah yang pertama, walaupun terpaksa jalan merangkak sebelum mampu berjalan betul.

Terimalah hakikat bahawa dunia kita sudah berubah. Apa yang patut kita fahami adalah sama ada kita mahu belajar atau tidak? Kita mahu berusaha atau tidak. Ia juga bergantung kepada kretiviti serta kebijaksanaan kita untuk memilih kaedah pembelajaran dan menguruskan masa bersesuaian dengan corak dan situasi kita. Minat yang mendalam dan sikap amanah serta ilmiyah adalah teras kejayaan kita. InsyaAllah. Sekaligus, kenyataan kuno, “Siapa yang menuntut ilmu tanpa guru (atau dengan berpandukan buku semata-mata) maka dia sebenarnya menuntut ilmu dengan syaitan” tidak lagi relevan pada zaman ini. Bahkan ia hanya akan merencatkan perkembangan dan kemajuan masyarakat di era intelek. Tetapi, hakikatnya ramai juga orang yang berguru dan bertalaqi masih juga ditakuk lama natijah dari diri sendiri yang tidak memiliki jiwa yang berdaya maju, tidak mahu berusaha untuk membangun, dan mungkin juga disebabkan memilih guru yang salah.

Hanya apa yang perlu ditekankan adalah perlunya untuk kita mengambil dari sumber yang tepat bagi setiap skop dan bidang yang dikehendaki. Jangan sampai kita mahu menguasai maklumat permotoran, tetapi asyik buku IT yang kita belek, maka mungkin ilmu IT yang akan kita perolehi. Begitu pula dalam persoalan agama, jangan sampai disesatkan oleh kitab-kitab orientalis!

Oleh itu janganlah takut untuk sentiasa belajar. Sama-samalah kita berusaha untuk sentiasa memperbaiki diri dari masa ke semasa supaya jangan sampai dikatakan ketinggalan zaman!

10 comments:

Pinggiran Putrajaya berkata...

Minta maaflah.

Belajar agama ni bukan macam belajar programming. Macam belajar memasak. Kalau salah tak apa. Belajar agama kena asas betul2 kuat sebelum nak baca kitab2 yang kita tak berapa kenal siapa tulis.

Ingatlah, Nabi bersabda “Sesiapa yg belajar ilmu tanpa berguru maka syaitan adalah gurunya”.

Untuk jadi daei begitulah. Asas kena kukuh, barulah menyampaikan.

InshaAllah.

Ya, jangan takut untuk belajar.
Dan jangan malu meminta maaf selepas menghina ulama'..

Salam kawan..

Brother Nawawi berkata...

Saya minta encik pinggiran putrajaya agar membawakan rujukan dari hadis manakah kenyataan ini,

Ingatlah, Nabi bersabda “Sesiapa yg belajar ilmu tanpa berguru maka syaitan adalah gurunya”.

Nyatakan siapakah yang mensahihkannya?

Hati2lah, kerana Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Sesungguhnya kedustaan keatas ku tidak seperti kedustaan atas orang lain. Maka barangsiapa yang berdusta atasku dengan sengaja, tempatkanlah tempat duduknya dineraka” (Hadis Riwayat al-Bukhari (1/434, no. 1229), Muslim (1/10, no. 4), dan lain-lain, dari al-Mughirah bin Syu’bah)

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Sampaikanlah yang dariku sekalipun satu ayat, dan berceritalah dari bani Israel, tidak mengapa, dan barangsiapa yang berdusta atas nama-ku dengan sengaja maka siaplah tempat duduknya di neraka” (Hadis Riwayat al-Bukhari 11/277)

P PUTRAJAYA berkata...

Tidak ada manusia yang pandai sendiri tanpa ia berguru dengan seseorang ataupun dengan seseuatu sumber. Secara logik seseorang itu belajar ia mesti melalui sumber tertentu atau dengan seseorang guru. Guru itu baik sama ada sesama manusia atau pun dengan makhluk yang lain.

Pandainya seseorang itu kerana ia belajar dan menuntut. Kerana ada guru memberitahu kepadanya. Yang mendidik dan memberi panduan kepadanya. Tanpa guru mustahil dia boleh menjadi pandai. Rasulullah S.A.W., manusia yang dipilih dan diistimewakan Allah pun ada gurunya. Baginda berguru dengan Jibrail a.s. di Gua Hira. Jibraillah yang bertindak menjadi guru, mengajar, membimbing Nabi Muhammad S.A.W. membaca Qalamu'llah yang dizahirkan iaitu "Iqra'".

Demikianlah juga dengan para Nabi dan Rasul-rasul lain, mereka juga mempunyai guru atau sumber perantaraan masing-masing untuk menerima ilmu dan wahyu daripada Allah. Nabi Musa A.S. misalnya berguru dengan Nabi Khidir A.S. Nabi Khidirlah yang memberi tunjuk ajar kepada Nabi Musa sehingga Nabi Musa mengerti segala seluk-beluk tentang perguruan dan ilmu.

Seperti disebut tadi, guru atau sumber mendapat itu bukan terbatas kepada manusia sahaja. Seluruh isi alam ini termasuk haiwan juga adalah sumber ilmu kepada manusia. Misalnya Habil adik kepada Qabil belajar daripada burung gagak begaimana hendak mengambuskan mayat adiknya setelah dibunuh. Mungkin kalau Qabil tidak melihat gagak, dia kematian akal untuk menyembunyikan mayat adiknya itu.

Kesimpulannya di sini seseorang yang mahu jadi cerdik, ointar, bijaksana, hatta mengenali dirinya sendiri dan Allah dia kena belajar. Dia harus mencari pembimbing, pemandu penasihat dan pembantu kepada perkembangan ilmunya. Tanpa seseorang yang bertindak demikian (guru) dia pasti tidak akan pandai dan tahu.

Mustahil seseorang itu pandai dengan sendirinya. Tidak ada seorang insan dilahirkan ke dunia terus cerdik dan mengerti tentang peraturan hidup di dunia. Semuanya terlebih dahulu kena ditunjuk, kena diajar, kena dibimbing dan kena dikembangkan ilmunya lepas itu baru ia menjadi pandai dan tahu.

Bila disebut guru pula akan terlintas dalam benak kita tentang manusia. Pada umumnya manusia itulah yang boleh menjadi guru kerana ia makhluk yang paling sempurna. Anggapan demikian terlalu umum. Memang sebaik-baik guru itu manusia. Kerana manusia itu sebaik-baik kejadian.

Tetapi dalam pada itu kita harus sedar, bahawa tanpa bantuan makhluk lain, manusia juga tidak boleh menjadi pandai dan mengerti dalam segala hal. Allah menjadikan makhluk ini untuk saling kenal-mengenali di antara satu sama lain. Dalam hal ini bolehlah kita menganggap bahawa setiap makhluk yang wujud dalam dunia ini merupakan sumber pengetahuan atau menjadi cermin (guru) sebagai alat untuk kita mengenali sesuatu.

Firman Allah Ta'ala.......

"Aku jadikan manusia ini bersuku bangsa, untuk saling kenal mengenali diantara satu sama lain untuk kau mensyukuri nikmatKu."

Sesuai dengan kedudukan manusia sebagai makhluk yang istimewa, maka sudah sewajarnya manusia menjadi guru kepada sekalian makhluk lain. Haiwan misalnya memerlukan tunjuk ajar daripada manusia untuk menjadi cerdik. Tumbuh-tumbuhan juga memerlukan bantuan daripada manusia untuk hidup dengan subur dan selamat.

Pun begitu juga dengan manusia sendiri. Ianya memerlukan bantuan dan tunjuk ajar daripada makhluk lain sebagai sumber untuk dia memperolehi ilmu pengetahuannya. dari gerak geri dan tabii haiwan, manusia boleh mempelajari ilmu tertentu. Dari desir angin dan deruan ombak di pantai, manusia akan dapat mengetahui rahsia mengenai sesuatu kejadian Allah.

Di sini menunjukkan kepada kita bahawa apa yang bernama guru itu tidak semestinya manusia. Malahan seluruh isi alam ini boleh bertindak menjadi guru. Pemberi ilham dan pencetus pentafsiran kepada diri kita untuk mengenali sesuatu kejadian itu secara yakin dan nyata lagi.

Tanpa bantuan alam dan makhluk, manusia tidak mungkin dapat mengetahui semua sekali baik tentang dirinya sendiri dan isi alam ini. Kalau manusia dapat menguasai seluruh ilmu. Misalnya, bagaimana manusia dapat mempelajari ilmu silat harimau? Tidak mungkin manusia akan pandai dengan sendirinya tanpa ia terlebih dahulu (berguru) memerhati silat itu daripada harimau.

Begitu juga untuk kita menguasai ilmu berenang seperti ikan. Kita tidak memperolehi ilmu atau cara-cara berenang yang baik tanpa mengamati pergerakan ikan. Dengan melihat, meniru, memerhati cara-cara ikan bergerak, mengibas sirip, ekor dan badan, maka membolehkan kita pandai berenang seperti ikan.

Ada pun cara dan kaedah kita belajar (berguru) dengan haiwan itu tidaklah seperti mana kita berguru dengan manusia, yang mempunyai adat-istiadat tertentu. Kita tidak payah sujud dan hormat kepada mereka, cukup setakat memerhati segala kelakuan dan feel perangai mereka sahaja, kemudian kita tafsirkan untuk keperluan kita.

Belajar dengan haiwan atau makhluk lain, kita cuma kena mengkaji apakah tujuan Allah menjadilannya. Kita kena banyak berfikir dan pandai mentafsir. Dalam kata lain, berguru dengan makhluk lain lebih rendah martabatnya dari kita, merupakan satu aktiviti untuk mengasah otak agar lihat, berfikir dan sensitif untuk melihat kebesaran Allah S.W.T.

Jadi di sini dapat disimpulkan untuk menjadi pandai, wajib belajar. Tanpa guru, kita tidak menjadi pandai. Bagaimana bijak sekalipun seseorang itu kalau ia tidak dibimbing dan dipandu dia tidak akan menjadi. Ia tidak muncul manjadi seorang hamba yang baik dan sempurna.

Dalam sebuah hadis Nabi ada menyebut.......

"Barangsiapa belajar dengan tidak berburu, umpama ia belajar dengan syaitan."

Maknanya mereka yang belajar tanpa panduan dan ikut rasa hati sendiri akan mudah tersesat dan terpesong dari lunas-lunas kebiasaannya. Kerana bila kita menurut kehendak hati, kita jadi lebih mementingkan diri kita daripada kehendak orang lain.

Justeru itu untuk menjadi manusia yang kamil, sempurna dan berada di atas jalan "siratalmustaqim", hendaklah kita berguru. Carilah seorang guru atau pun belajarlah dengan alam semesta ini untuk kebaikan. Janganlah berbuat sesuatu tanpa panduan dan nasihat sesiapa. Kerana dengan cara itu menyebabkan kita bersyubahat dengan "syaitan" dan melakukan sesuatu di atas kehendak nafsu serakah kita sendiri.

Bila sebut sahaja guru, tidak ada guru yang paling bagus melainkan manusia. Manusialah sebaik-baik guru kepada manusia. Lagi pun memang telah menjadi tugas manusia, ia dilahirkan ke dunia ini untuk menjadi guru, petunjuk, pemimpin, pembimbing dan pengasuh kepada seluruh isi alam.

Manusia sahajalah yang arif dan bijak kerana ia diberikan keistimewaan itu oleh Allah Ta'ala.

FirmanNya.......

"Tidak Aku jadikan Jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu."

Az Zariat 56

"Dan Ku jadikan manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini."

Al Baqarah 30

Manusialah yang layak untuk menjadi guru. Berguru dengan manusialah yang boleh membawa kepada kebenaran yang sebenarnya. Tidak ada guru yang paling baik dan sempurna melainkan manusia. Hakikat ini tidak perlu diragui lagi kerana Allah sendiri menyatakan kebaikan dan ketinggian darjat manusia itu.

"Sebaik-baik kejadian ialah manusia."

Dalam pada itu tidak pula bererti guru itu boleh didatangi begitu sahaja. Atau pun semua manusia yang digelar guru itu baik, sempurna dan bijak. Bukan! Bukan bermakna bila orang itu dipanggil guru, maka ia terus menjadi seorang guru yang pandai dan berwibawa. Sebaliknya kita kena perhati betul-betul pada seseorang guru itu agar kita tidak salah memilih guru.

Dalam dunia moden hari ini ramai orang yang mengaku menjadi guru. Atau ramai orang diangkat martabatnya menjadi guru. Ini tidak hairan kerana pada akhir zaman ini, semua bidang kehidupan telah diperalatkan oleh manusia, termasuk juga bidang keagamaan (perguruan). Kerana dengan menjadi guru membolehkan seseorang itu akan disanjung dan kebajikan kehidupan mereka juga akan dijaga.

Hari ini terdapat ramai orang telah memperniagakan ilmu agama untuk kepentingan diri. Mereka mengaku pandai dalam bidang agama lalu membuka kelas pengajian. dari kelas itu mereka kaut keuntungan dengan meminta wang dan imbuhan daripada anak murid dengan menggunakan berbagai alasan. Padahal mereka tidak mempunyai kelayakan, apa lagi ilmu untuk diajar kepada orang ramai.

Justeru itu janganlah kita mudah menerima seseorang uyang belum kita kenal sebagai Guru Mursyid. Janganlah mudah terpesona dan kagum dengan cakap-cakap guru. Kita jangan terus mempercayai pada kata-kata orang bergelar guru sebelum kita mengukur sejauh manakah ketinggian dan kedalaman ilmu yang dimilikinya.

Sering kali terdengar kisah mengenai guru kebas wang murid. Atau pun guru dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dengan sesuatu "skandal". Ini tidak lain dan tidak bukan adalah guru mengarut. Guru yang "diturunkan" untuk mengambil kesempatan dan memperniagakan ilmu untuk kepentingan diri sendiri.

Maknanya untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan terhindar dari kena tipu, kita hendaklah mencari guru yang Mursyid. Guru yang benar-benar mengajar kerana Allah. Yang tidak bertopeng dengan wajah-wajah kepalsuan dan juga memperalatkan ilmu untuk kepentingan diri.

Hanya Guru Mursyid sahaja yang dapat menjamin kita memperolehi ilmu yang sebenarnya. Yang mampu membimbing kita ke jalan "sirattalmustaqim". Kita juga akan selamat daripada terlibat dengan perkara-perkara yang mengaibkan dan tidak senonoh seperti penipuan, skandal dan difitnah mengamalkan ajaran sesat, ajaran songsang dan ajaran salah.

Hanya dengan Guru Mursyid sahaja kita mendapat ilmu sebenarnya. Ilmu Haq. Kerana seorang Guru Mursyid tidak akan menipu anak muridnya. Guru Mursyid guru yang mewarisi ilmu daripada Rasulullah S.A.W. dan memegang amanah ilmu Rasulullah S.A.W. untuk disebarkan dan diajarkan kepada umatnya. Guru Mursyid guru yang mengajar berlandaskan Al-Quran, Hadis dan hasil pengalamannya sendiri.

Maka carilah Guru Mursyid kalau berhajat untuk menjerumuskan diri belajar mengenal diri dan mengenal Allah. Tanpa seorang Guru Mursyid, kita bukan sahaja sia-sia dan tidak mengenal diri dan Allah sebaliknya diri kita juga akan tertipu oleh syaitan dan kemungkinan turut sama terperosok ke dalam Neraka.

Guru Mursyid ialah yang menjelma dan lahir daripada rahim para Ulama' yang ikhlas, jujur, taqwa dan berIman kepada Allah kerana Allah. Ulama yang menguasai keempat-empat cabang ilmu Syariat, Tariqat, Hakikat dan Makrifat serta yang menghiasi dirinya dengan bunga-bunga akhlak dan perangai Rasulullah S.A.W.

Wallah hu ta'ala a'lam.......

Nawawi berkata...

Maaf, saya hanya mahukan rujukan "hadis" yg saudara dakwakan itu sahaja. Cukup sekadar beri rujukan dan takhrijnya.

- Terima kasih.

P Putrajaya berkata...

Aku bertaubat atas kesilapanku itu Ya Allah.

Maaf, selama ini saya menyangka itu adalah hadis. Sepertimana saya menyangka 'Tuntutlah ilmu ke negeri China' atau 'Perbezaan pendapat itu rahmat' sebagai hadis sahih.

Astaghfirullahal 'Azim..

Setelah merujuk beberapa rujukan, saya dapati bahawa kata-kata itu terdapat di dalam Kitab “ Haq at-Toriqoh “ dan “ Syarh Usul Tahqiq “. Tetapi ia juga tiada dinyatakan asalnya.

Di dalam kitab “ Al-Kasyfu ‘An Haqiqah as-Sufiyyah Li Awwal Marrah Fit Tarikh ", Asy-Syeikh Mahmud Abdul Rauf al-Qasim menyatakan bahawa kata-kata itu dan yang seumpama dengannya adalah berasal daripada tokoh-tokoh Tasawwuf , antaranya Al-Imam as-Saiyid Ahmad ar-Rifai’e , Al-Imam Abu Yazid al-Bustomi dan al-Imam al-Ghazali.

Oleh yang demikian, saya tarik balik bahawa ia adalah hadis sebaliknya berasal daripada ulama' muktabar.

Walaubagaimanapun, saya tetap berpendirian bahawa dalam mengaji ilmu agama, mesti asasnya melalui guru yang mursyid. Bukan hanya melalui pembacaan.

Mengaji ilmu agama tidak boleh di samakan dengan ilmu komputer apatah lagi ilmu memasak. Sangat tidak kena.

Terima kasih kerana bertanya. Kalau tidak, saya mungkin akan terus ingat ia sebagai hadis. Syukran.

Salam..

al-um berkata...

saya ada satu cadangan, an-nawawi kan ada banyak baca hadis2... jadi mungkin bila ada yang mengeluarkan hadis, an-nawawi boleh sertakan rujukannya jika an-nawawi tahu. kan itu sumbangan yang baik... =)

Legasi Ummah berkata...

P Putrajaya..

Tahniah kerana berani mengaku salah dan bertaubat walaupun saya tahu kamu tak sengaja.

Lain benar dengan 'penghina ulama' itu.

Berkata Imam Ibnu Sirin:

Ilmu itu adalah agama, maka lihatlah dengan siapa kamu mengambil agama itu.

Bergurulah, kerana itu lebih baik..

Pelajarilah asas, iAllah tak akan sesat.

Ingat, ilmu itu piramid bukan KLCC.

Nawawi berkata...

Terima Kasih.

InsyaAllah, dalam masa terdekat, saya akan bawakan siapa itu al-Qaradhawi yg tidak dikenali oleh para pengangumnya. Saya akan sertakan sekali rujukan & kata-kata ulama terhadapnya.

wallahu a'lam.

Tanpa Nama berkata...

Kalau nak tulis kata2 Albani maaflah.

Albani itu sendiri terlalu ramai ulama yang menolak pendapatnya. Qardhawi pula ditolak oleh 'ulama' yang menyokong Albani saja.

Mungkin Nawawi perlu belajar kaedah 'Sesuatu Ijtihad tidak membatalkan ijtihad yang lainnya' sebelum dia memandai2 memangkah pendapat ulama lain.

nik berkata...

saya tidak pandai untuk komen tapi sila rujuk kepada artikel ini...

http://aljoofre.iluvislam.com/?p=29