“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Selasa, Februari 03, 2009

Pernikahan: Ikatan Positif Yang Diberi Alasan Negatif

Pernikahan: Ikatan Positif Yang Diberi Alasan Negatif

http://an-nawawi.blogspot.com

Dunia kampus memang tidak pernah kering dengan suasana riuh rendahnya para pelajar. Ia adalah alam dunia remaja yang begitu mengasyikkan dalam melayari sebuah perjalanan menuju kedewasaan. Rata-ratanya meredah sebuah perjalanan menuju martabat dan makam kematangan. Kematangan dalam fizikal, berfikir, membuat keputusan dan membina sebuah jati diri seorang insan.

Dalam kehangatan keriuhan suasana tersebut, isu yang paling mendapat perhatian saban waktu adalah isu berpacaran atau berpasang-pasang-nya remaja lelaki dengan perempuan. Masing-masing sudah mula mengerti alam hati dan jiwa. Menerobos alam percintaan dan suka kepada jantina berbeza. Mula berimaginasi melayari naluri sayang di antara satu sama lain di antara insan dua jantina berbeza. Memiliki keinginan untuk bermanja, dimanja, dan memanjakan seseorang pasangan pilihan. Ingin bersama saban waktu dan ketika di setiap tempat. Mahu sentiasa makan bersama, belajar bersama, berjalan bersama, sehingga membuahkan perasaan tidur juga mahu bersama.

Itulah hakikatnya yang rata-ratanya dialami oleh warga remaja dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar kampus di usia remaja. Di saat jutaan sel dan hormon dewasa di dalam badan mula aktif. Perasaan ingin berpasangan yang semakin membuak-buak. Kehangatan perasaan jiwa yang bukan semakin suam, tetapi terus membara dan membakar hati.

Ya... perasaan tersebut memang sukar untuk surut dan reda. Hati-hati mereka akan terus dibanjiri dengan seribu kekacauan dan gelojak jiwa ingin bercinta, menyintai dan dicintai. Kehangatan suasana pergaulan masa kini memang suatu faktor yang menjadikan semua itu sukar untuk dikawal. Menjadikan mereka mudah terperangkap dan hanyut.

Betapa dunia kita terdedah dengan pelbagai jenis media massa, media cetak, mahu pun dunia global yang hanya dengan pergerakan jari mampu meneroka seluruh pergolakan dunia. Saban hari pelbagai isu disebarkan yang benar-benar mengganggu ruang hati yang mengajak kepada perasaan yang pelbagai, termasuklah membangkitkan perasaan cinta dan ingin berpasangan. Ditambah lagi dengan realitinya dunia yang sememangnya begitu. Menjadikan hati-hati naluri manusia bergelar remaja begitu mudah dirangsang.

Maka, ianya suatu yang bukan lagi menghairankan manusia biasa seperti kita. Di mana setiap kita dianugerahi dengan sifat kasih sayang dan perasaan cinta. Perasaan ingin memiliki dan dimiliki. Terlalu banyak rangsangan dan faktor yang mengarahkan (meng-aktifkan) apa yang terpendam tersebut bertindak lebih awal. Seluruh pancaindera berfungsi sepenuhnya dengan menyerap kepelbagaian input tersebut. Maka, lubuk naluri dalaman kita dirangsang sama ada dengan dipaksa berfungsi awal atau pun terlaksana sendiri tanpa kawalan yang mengakibatkan jiwa-jiwa dalaman kita meletup-letup dan membuak-buak.

Asal mula memasang niat untuk membina keluarga. Ingin bersama di masa hadapan dalam sebuah perkahwinan yang indah. Namun, lantaran mahu mengenali hati budi terlebih dahulu, akhirnya jatuh ke lubuk maksiat tanpa disedari. Niat menyelami hati budi, akhirnya terlajak sehingga mengenali hati “body” masing-masing. Habis tubuh dari hujung kaki dan rambut diredah serta dirasa.

Begitulah betapa syaitan menipu manusia dengan senjata perasaan dan naluri cinta yang terkandung di dalam diri-diri manusia itu sendiri. Begitu ramainya remaja kampus kita yang hancur “body”-nya lantaran sebuah cinta. Hancur hatinya akibat mengikuti rasa. Masa hadapannya menjadi samar dan gelita. Perasaan menjadi hambar dan luluh akibat dari sebuah hubungan cinta nafsu semata.

Di dalam menghadapi sebuah suasana ini, penyelesaiannya tidak lain. Iaitu adalah dengan Islam itu sendiri. Dengan sebuah agama yang cukup-cukup sempurna dan tidak terkalahkan. Sebuah solusi yang begitu agung dan mulia. Sebuah agama yang agung, sudah pasti memiliki sebuah pilihan jalan yang cukup-cukup agung dan ulung.

Islam memberi pilihan dengan sebuah ikatan bernama “Pernikahan”.

Namun sayangnya... betapa ramainya para remaja masa kini yang memandang kalimah pernikahan sebagai sebuah perkara yang negatif. Pelbagai alasan yang diberi. Di antaranya:

1 – Belum sampai masanya. Kerana masih terlalu muda.

2 – Belum sampai waktunya, kerana masih di alam pengajian dan mahu menamatkan pelajaran sehingga meraih segulung ijazah terlebih dahulu.

3 – Belum ada duit untuk membina sebuah rumahtangga.

4 – Keluarga masing-masing tidak memberi laluan.

Inilah bentuk-bentuk alasan yang cukup sering kita perolehi dari mulut-mulut mereka. Betapa negatifnya mereka terhadap sebuah alternatif yang cukup-cukup baik lagi sempurna yang telah disediakan oleh agama Islam.

Lalu, mereka memandang positif pula begitu banyak perlakuan maksiat lainnya. Mereka memandang positif sebuah kebersamaan terhadap pasangan masing-masing di segenap waktu dan tempat tanpa sebarang ikatan yang diiktiraf.

Di dalam alasan “belum sampai masanya” tersebut jugalah mereka mengambil masa yang ada bagi melayari sebuah ikatan terlarang. Menghalalkan berpegangan tangan, menghalalkan bersenda-gurau, menghalalkan bermanja suara, menghalalkan duduk berduaan bertentangan mata. Fatwa mana yang mereka gunakan? Yang pasti bukan fatwa agama, melainkan fatwa jiwa yang dirujuk dari orang ketiga bernama Syaitan.

Begitulah remaja-remaja kita hanyut dengan fatwa jiwa masing-masing. Meninggalkan yang halal dengan mengambil yang haram. Memandang yang positif sebagai negatif dan memandang yang negatif menjadi positif.

Akibat sebuah alasan “belum sampai waktunya” itu jugalah, kebanyakan remaja-remaja kita terobek kesuciannya sebelum sampai waktunya. Melahirkan anak sebelum waktunya. Menamatkan pengajian dari kampus sebelum waktunya. Menamatkan zaman daranya sebelum waktunya. Menikmati tubuh jantina berbeza sebelum waktunya. Menikmati naluri seks juga sebelum waktunya. Akibatnya? Anda sendiri jawab...

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyediakan jalan yang begitu suci dan murni buat orang-orang yang beriman supaya mereka aman di dalam perjalanan kehidupan mereka. Tenang bersama sebuah kehalalan. Memberi jaminan kepada mereka yang menghargai sebuah pemberian. Pemberian Allah yang tiada tolok bandingnya. Iaitu sebuah syari’at yang bernama pernikahan.

Setiap insan yang matang sudah pasti mampu melakukannya. Janganlah beralasan dengan alasan bodoh lagi. Mahu mengumpul wang untuk tujuan karut marut sebuah hantaran perkahwinan. Mahu mengumpulkan perbelanjaan bagi tujuan bertukar (berbalas) dulang yang khurafat. Mahu meraih pekerjaan terlebih dahulu bagi membolehkan menyediakan cincin pertunangan dan pernikahan ribuan ringgit yang sebenarnya bertasyabbuh (menyerupai) dengan kaum kristian. Tidak lain, semua itu adalah karut-marut dalam sebuah pernikahan yang telah sedia suci. Selamilah perkahwinan yang dianjurkan oleh agama. Bagaimana Nabi kita memberi petunjuk. Lihatlah bagaimana para Sabahat-sahabat nabi melayari pernikahan mereka dengan cahaya agama. Sesungguhnya Islam sentiasa menyediakan ruang yang cukup-cukup mudah lagi positif.

Hanya mereka yang befikiran negatif, maka akhirnya kehidupan mereka turut menjadi negatif.

Maka, halalkanlah perhubungan anda bersama gadis mahu pun jejaka pilihan anda dengan ikatan yang halal. Jika takut mengatur rumahtangga di masa awal. Jalanilah dunia remaja anda dengan sentiasa bersama, berpasangan, belajar bersama, makan bersama, saling bertukar pandangan bersama, manja bersama di bawah ikatan pernikahan yang sah. Iaitu dengan tidak terburu-buru untuk menikmati seks di peringkat awal. Kawal perhubungan di dalam pernikahan anda dengn bijaksana. Percayalah bahawa ikatan pernikahan adalah jalan yang terbaik bagi mengelakkan perkara-perkara yang negatif. Ia adalah sebuah alternatif yang sangat positif anugerah dari Tuhan yang maha Mencipta dan maha Mengatur.

Jika anda telah memiliki minda yang positif, maka insyaAllah... anda layak menikmati hubungan di antara dua jantina dengan hasil yang juga cukup-cukup positif. Percayalah bahawa nikmat dan rezeki Allah sangat-sangat mencukupi untuk para hamba-hamba-Nya yang benar-benar beriman. Janganlah bersangka dengan sangkaan yang negatif kepada Allah dengan bertujuan mengambil yang haram dan meninggalkan yang halal.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nuur, 24: 32)

Imam Ibnu Katsir rahimahullah memetik perkataan Ali bin Abi Tholib radhiyallahu ‘anhu ke dalam tafsirnya terhadap ayat ini bahawa:

“Allah memberi galakkan kepada manusia untuk bernikah. Allah memerintahkan nikah kepada orang-orang yang berstatus merdeka mahu pun hamba sahaya. Allah berjanji kepada mereka akan memberikan kecukupan atau kemampuan untuk menikah.” (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):

“Wahai pemuda, sesiapa di antara kamu yang telah mampu mmengeluarkan belanja pernikahan, maka hendaklah dia menikah, kerana menikah itu akan menjaga pandangan dan memelihara kemaluan...” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Percayalah bahawa rata-rata remaja zaman ini secara umumnya mereka semua mampu mengeluarkan perbelanjaan tersebut jika ia dilaksnakan menurut cara yang syar’i dengan meninggalkan pelbagai karut-marut pernikahan yang diwarisi dari adat jahiliyyah. Masakan tidak mampu jika rata-rata mereka sudah mampu mengeluarkan belanja telefon bimbit ratusan ringgit setiap bulan bagi berhubungan dengan pasangan masing-masing. Mengeluarkan ratusan ringgit untuk sebuah perjalanan makan angin bersama. Mengeluarkan perbelanjaan setiap hari untuk makan bersama dan sebagainya. Fikir-fikirkanlah... Bahawa perbelanjaan pernikahan adalah lebih rendah dari semua itu. Malahan, mereka turut dibiayai pelbagai wang biasasiswa dan seumpamanya. Malah, tidak kurang ramai di antara mereka yang telah memiliki perniagaan sendiri. Salurkanlah duit ke jalan yang betul dan bukan dibelanjakan untuk tujuan yang haram. Hiduplah dengan jalan yang diberkati dan penuh pahala saban waktu.

Daripada Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Carilah kecukupan rezeki dengan bernikah, kerana Allah berfirman, “Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya.” (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir dan ath-Thabari)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):

“Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka,

1 – Orang yang bernikah dengan tujuan menjaga kesucian dirinya,

2 - Hamba sahaya yang ingin memerdekakan dirinya,

3 – Orang yang berperang di jalan Allah.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Lihat Shahihul Jami’, no. 3050)

Malahan, Imam Ibnu Katsir juga turut menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menikahkan seorang lelaki yang tidak memiliki apa-apa melainkan kain yang dipakainya. Sehinggakan dia tidak mampu walaupun membeli cincin dari besi. Walau pun demikian, beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahkannya dengan seorang wanita dan menjadikan mas kahwinnya berupa al-Qur’an kepada isterinya, kerana hanya itu yang dia miliki. Kita semua sedia maklum bahawa kasih sayang Allah dan kebaikan-Nya adalah memberi mereka berdua kurniaan rezeki yang dapat mencukupkan hidup mereka. (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)

Sebagai menutup tulisan ini, pastikanlah pasangan anda adalah seorang individu yang bertanggungjawab dan bersedia meraih kematangan dengan cara yang diiktiraf. Iaitu bertanggungjawab terhadap diri anda dan agama dengan mengambil setiap jalan penyelesaian dengan agama. Yang lebih penting, sentiasa berusaha dan bersedia memperbaiki diri dan kelemahan masing-masing.

Jauhuilah individu yang membelakangkan agama untuk menjadi pasangan anda. Fahamilah bahawa pasangan yang mangajak untuk bersama-sama dalam pelbagai perkara tanpa mendahulukan ikatan pernikahan, bahawa dia sebenarnya adalah individu yang tidak bertangunggjawab. Yang mungkin hanya akan merosakkan anda di masa hadapan.

Wallahu a’lam...

7 comments:

Drg berkata...

Slm..
memang la bro,
kalau boleh semua nak buat camtu..
tp yg turut terlibat dlm pernikahan anak2 ni ialah mak ayah die..
mak ayah ni kdg2 manhaj pun beza ngan kite..
susah jugak tu..cakap mmg senang.

Brother Nawawi berkata...

agama islam adalah agama dakwah. maka, sampai2kanlah kpd parent masing2 dengan cara yg terbaik.

nanti pula bila generasi kita dah jadi parent pulak... fahamilah masalah anak2 ye..

si berkaca mata berkata...

saya telah bercita2 utk kawen muda.tp ramai yg memandangnya sbg perkara negatif..

Ahmad Syazwan B. Ahmad Tarmizi berkata...

ISI YANG BAIK..BLH SAYA POST DALAM FRIENDSTER??

Muaz Nabil berkata...

salam bro. ulasan yang baik. mintak izin copy dlm my blog boleh?
trima kasih didahulukan.

kasim selamat berkata...

Alasan negatif saudara bilang? herm.seringkali memang mudah bg kte utk memberi tanggapan kpd apa sahaja yg tidak serasi dengan perlakuan natural atau pendapat sendiri. seorang pelajar yang gagal dalam peperiksaan semester bagi org kebanyakan kemungkinan akan mengatakan bahawa dia malas stadi ataupun dia suka main2. mungkin benar dan mungkin juga tidak. boleh jadi pelajar itu sudah brusaha abis2san dan peperiksaan itu memang susah.

memang mudah bg saudara mengatakan bahawa mereka memberi alasan negatif, alasan mengarut, alasan bodoh. namun bagi sebilangan kita...'alasan' ini adalah kenyataan yg memang susah untuk diatasi. pernahkah saudara terpikir mengapa ada diantara kte yang sanggup melintas sempadan negara untuk berkawin di negara jiran?

contohnya: "Belum ada duit untuk membina sebuah rumahtangga"...bg saudara yang kemungkinan dtg dari keluarga berada, ini dianggap alasan bodoh. namun pernahkah saudara terpikir sejenak...adakah kte sekarang berada dizaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam? memberi al-Quran untuk berkahwin? bak atang try lu cakap kat bakal pak mertua cmnie..."hanya Al-Quran ini yg saya ada untuk mengambil anak pak cik sebagai isteri". saper yg boleh kawin camtu memang saya tabik spring:) kte dibelenggu adat dan budaya. bagi masyarakat zaman kini perkahwinan memerlukan walimatulurus yg elok dan kadangkala HANTARAN yg dengan ganasnya merobek poket si bakal suami. walimatulurus yg cikai dan hantaran yg rendah sudah semestinya akan mencemarkan air muka bakal mertua. bagi sesetengah org, nak lepas wang hantaran pn kena turun naik bank sploh kali untuk mntak loan. bukan xnk kawin...klu bleh bt mcm zaman Rasulullah s.a.w tue...bg al-Quran je bleh kawin...perg...kompem jam pejabat tok kadi...siap kne bt appointment. xyah ssh2 g thailand tuk nikah. kadangkala...adat dan budaya kte menghalang anak2 muda ini utk melalui jalan yg diredhai iaitu berkahwin. kadangkala ada pula ibu wanita yg mahukan hantaran setaraf dengan nilai semasa (klu kat KL at least rm9k). xkn nk tinggalkan trus perempuan tu kn.

secara ringkasnya...bg sesetengah org 'alasan negatif, bodoh, mengarut' yg saudara kemukakan bukanlah alasan semata-mata...tp adalah kenyataan pahit yg terpaksa dihadapi dengan susah payah.kita kena ingat...bukan smue drpd kte itu kaya ada duit, dpt biasiswa, dpt mertua sporting.

dalam kes saya...bakal mak mertua saya prefer anak nye baerkahwin dgn seorng doktor walaupun anaknya sudah cinta sama saya. peace n love(-.-)v

Nawawi berkata...

Sebaik-baik kalam, adalah kalamullah. sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu 'alaihi w aSallam.

- Maka, selesaikanlah setiap masalah dgn menghayati al-Qur'an dan as-Sunnah. Setiap zaman, setiap ketika, kita sentiasa diberikan permasalahan dan ujian. Tidak lain, jalan penyelesaiannya adalah dengan apa yg telah diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.