http://an-nawawi.blogspot.com/
Pada hari ini, penganut agama Islam adalah antara yang teramai dan terbesar di muka bumi ini. Sebahagian besar di antara mereka sentiasa mengharapkan umat Islam berupaya meraih kembali zaman kegemilangannya sebagaimana yang dicapai di era Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama para Sahabat-sahabatnya.
Namun pada hari ini, umat Islam kelihatan begitu jauh ketinggalan, tahap kekuatannya menurun, kerap tertindas, berpecah-belah tidak bersatu (berpuak-puak), dan saling bertelagah di antara satu sama lain. Daripada keadaan ini, maka apakah jalan penyelesaiannya, dan apakah faktor penyebabnya?
Marilah sama-sama kita bermuhasabah, melihat dan merenungi situasi yang kita dan seluruh umat Islam hadapi ini berpandukan dari dalil demi dalil. Bertepatan dengan prinsip-prinsip asas Islam itu sendiri iaitu mengembalikan setiap urusannya dengan merujuk kepada al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih.
Kemunduran Umat Islam
Sebahagian umat Islam beranggapan bahawa kemunduran umat Islam adalah berpunca dari faktor penguasaan ekonomi yang lemah, dan dengan sebab ini, mereka pun berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan tahap ekonomi mereka. Sebahagian lagi berpendapat bahawa kemunduran ini adalah kerana umat Islam gagal dalam meraih kedudukan di tampuk politik, dengan itu mereka pun berhempas-pulas mendirikan parti-parti politik, meraih sokongan, sekaligus berusaha sedaya-upaya menguasai kerusi-kerusi politik. Manakala sebahagiannya lagi berpendapat bahawa zaman ini umat Islam tidak memiliki daulah Islamiyyah (negara yang menerapkan hukum Islam), maka dengan sebab tersebut umat Islam menjadi lemah selemah-lemahnya tanpa sebarang pembelaan dan naungan. Dengan sebab ini juga, mereka pun melaung-laungkan suara kebangkitan supaya diadakan dengan segera daulah khilafah yang dengan terbinanya ia nanti bakal membolehkan seluruh umat Islam mengangkat seorang khalifah yang sekaligus menaungi seluruh umat Islam.
Persoalannya, benarkah pendapat-pendapat mereka ini? Hakikatnya, apa yang terjadi adalah umat Islam menjadi lebih berpecah-belah dan jauh dari nilai-nilai Islam yang sebenar.
Oleh itu, mari kita lihat terlebih dahulu satu demi satu, apakah faktor yang sebenarnya yang telah menjadikan umat Islam begitu lemah sekali pada hari ini,
1 – Umat Islam Jauh Dari Ilmu dan Ajaran Islam Yang Sebenar,
Ini dapat dilihat apabila lahirnya pelbagai kelompok manusia serta umat Islam sendiri di mana setiap kelompok mereka dibarisi tokoh-tokoh mereka masing-masing. Mereka hanya mengikuti tidak lain melainkan tokoh-tokoh mereka. Mereka menjauhi para ulama dan pembawa panji ilmu yang sebenar. Malah mereka buta dari mengenali siapakah sebenarnya ulama.
Dari ‘Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sebenarnya Allah tidak menganggkat (menghilangkan) ilmu dengan mencabut begitu saja dari para hamba-Nya. Akan tetapi, Dia mencabutnya dengan mematikan para ulama, sehingga apabila tiada seorang pun yang berilmu, manusia akan memilih pemimpin yang jahil; jika mereka (pemimpin itu) ditanya maka mereka berfatwa tanpa ilmu, maka mereka tersesat dan menyesatkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/176)
Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
“... nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang memiliki ilmu pengetahuan beberapa darjat” (al-Mujadilah, 58: 11)
Ini jelas menunjukkan bahawa kemuliaan (ketinggian darjat) umat Islam itu diberikan kepada mereka yang beriman dan memiliki ilmu pengetahuan. Sudah tentu ilmu yang paling utama yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan pembinaan dasar keimanan dan peribadatan. Ini adalah kerana asas-asas keimanan yang betul dan konsep ibadah yang sahih merupakan sebuah identiti yang membina jatidiri seseorang muslim. Dan dengan ilmu-ilmu yang asas ini kelak ia bakal menjadi tunjang nadi membina kerangka manhaj (prinsip) dan tapak kepada sebuah kejayaan yang besar, jika tidak di dunia, ia bakal membuahkan kebahagian di akhirat. Sekaligus menjadi akar kepada pelbagai cabang ilmu yang selainnya. Tanpa jatidiri yang benar ini, apalah ertinya jika seseorang itu mahir di dalam pelbagai cabang ilmu selainnya, kerana ia tidak akan mencerminkan gambaran Islam yang sebenar pada dirinya.
2 - Mereka Mendustakan Syari’at Islam,
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Dan sesungguhnya Kami telah meneguhkan kedudukan mereka dalam persoalan yang Kami belum pernah meneguhkan kedudukanmu dalam hal itu dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati; tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit pun bagi mereka, kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka telah diliputi oleh balasan siksa yang dahulu selalu mereka memperolok-olokkannya.” (Surah al-Ahqaaf, 46: 26)
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya (kaffah), dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang jelas bagimu.” (Surah al-Baqarah, 2: 208)
Kebanyakan apa yang berlaku hari ini, begitu ramai sekali umat Islam yang meninggalkan syari’at Islam yang sebenar. Mereka meremeh-remehkan agama. Mereka meninggalkan sebahagian dari agama kerana beranggapan terdapat sebahagian syari’at di dalam Islam ini yang sudah tidak lagi sesuai (tidak relevan) untuk diamalkan, malah hanya bakal mengundang kejumudan dalam menjalani kehidupan di era sains dan teknologi. Mereka menganggap apa yang mereka tinggalkan sebagai suatu perkara yang remeh-temeh, malah dengan sebuah penghinaan.
Sebagai contohnya, terdapat beberapa pihak tertentu yang mempersenda-sendakan hukuman hudud dan mempergunakannya bagi tujuan meraih sokongan di dalam kancah semasa dan politik. Contoh yang lain, pada masa ini begitu ramai sekali lelaki umat Islam yang berbangga dengan pakaian labuhnya (seluar, jubah, kain) melebihi mata kaki (berisbal) dengan meninggalkan larangan isbal itu sendiri. Sedangkan telah jelas larangan berpakaian isbal bagi lelaki. Namun, disebabkan kedegilan hati mereka, mereka bukan sahaja tidak mengikuti malahan mereka bangkit dengan sebuah penghinaan yang antaranya dengan mengatakan:
“Memendekkan pakaian (tidak berisbal) adalah pakaian orang-orang fasiq dan menyerupai kumpulan skinhead, tak kan kami mahu memakai pakaian ala-ala skinhead?”
Sebenarnya mereka lupa bahawa pakaian tanpa isbal adalah mencontohi pakaian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Malah ia tidaklah sebagaimana yang dikatakan sebagai menyerupai pakaian skinhead. Jauh sekali bezanya. Ternyata sungguh jahil sekali mereka tentang agama sehingga sanggup mempersendakannya pula. Mereka memandang perkara ini remeh, dan mempersenda-sendakannya namun hakikatnya, tahukah siapa yang sedang mereka hinakan?
Banyak lagi contoh dalam persoalan lainnya seperti dalam persoalan asas-asas solat itu sendiri yang mereka tinggalkan seperti meninggalkan syi'ar solat secara berjama’ah di masjid, meninggalkan (tidak menghiraukan) perintah merapatkan saf, meremehkan solat ketika dalam keadaan sakit, meninggalkan solat ketika sedang bermusafir, bersenang-lenang dengan amalan riba’, meremehkan kewajiban menutup aurat, bebas bercampur-gaul di antara sesama lelaki dan wanita, serta pelbagai lagi contoh lainnya. Jika perkara-perkara asas ini pun mereka tidak prihatin dan memperlecehkannya, bagaimana mungkin umat Islam akan maju melangkah ke medan yang seterusnya?
Maka, sewajarnya kita berhati-hati dalam bertindak memulakan langkah sebagai seorang yang tulus dalam beragama. Janganlah kita menuruti hawa nafsu, yang dengannya hanya akan menutupi pintu-pintu hidayah. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksdunya):
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” (Surah al-Jatsiyah, 45: 23)
3 – Umat Islam Suka dan Berbangga Meniru Peradaban Orang Kafir,
Ini jelas dapat dilihat melalui sistem kehidupan seharian mereka sendiri di mana bermula dari cara berpakaian (merujuk persoalan aurat dan pakaian kaum yang fasiq), perlaksanaan ekonomi (sistem kapitalis dan riba’), sistem politik mereka (mengambil sistem demokrasi), cara berfikir (berfalsafah dan liberal), dan lebih teruk lagi apabila mereka mengmbil idola-idola mereka dari kaum kafir sendiri (mengikuti tokoh-tokoh falsafah barat, mengambil/mencontohi trend para artis, pemain bola sepak, atau seumpama).
Dalam persoalan ini, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah bersabda:
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk ke dalam kaum tersebut.”
Juga sabdanya, dari Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu:
“Sungguh kamu akan mengikuti jejak dan jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, seterusnya sehasta demi sehasta, sehingga bila mereka memasuki lubang dhob (binatang seperti biawak) pun kamu akan mengikutinya.” Lalu kami bertanya:
“Wahai Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu orang Yahudi dan Nashrani?” Beliau menjawab: “Siapa lagi sekiranya bukan mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/298)
Di sini dapat kita renungi iaitu apabila umat Islam sendiri secara umumnya meniru corak pemikiran orang Yahudi dan Nashrani, meniru gaya hidup mereka, mencotohi perlaksanaan ekonomi mereka (contoh: sistem kapitalis, riba’), walhal mereka tahu bahawa ia (Yahudi & Nashrani) adalah musuh kaum muslimin, maka bagaimana umat Islam akan meraih kegemilangan?
4 – Umat Islam Berpuak-puak Dan Fanatik Kepada Puak Masing-masing,
Allah Subhanahu wa Ta’ala melarang keras perpecahan dan memerintahkan supaya umat Islam bersatu.
“...Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (Surah ar-Rum, 30: 31-32)
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai” (Surah Ali Imran, 3: 103)
Namun pada hari ini begitu jelas sekali menunjukkan betapa umat Islam berpecah-belah menjadi beberapa kumpulan yang sangat banyak. Mereka sebahagiannya mewarisi perpecahan kaum khawarij (takfiri dan menetang barisan pemerintah), muktazilah (mendahulukan akal berbanding nash dan dalil-dalil agama yang sahih), jabbariyah (yang mendustakan takdir), qadariyyah (yang berserah kepada takdir semata-mata), ahli ra’yi (yang mentafsirkan agama dengan akal fikiran), sufi (yang mempercayai syari’at baru datang melalui mimpi), kelompok syi’ah yang menzahirkan seakan-akan Islam (golongan yang mencela para sahabat Nabi dan berusaha mereka-cipta dalil-dalil agama mereka sendiri), dan banyak lagi yang lainnya.
5 – Menyimpan Perasaan Hasad Dengki,
Sebahagian tokoh umat Islam memiliki perasaan dengki (tidak berpuas hati) apabila kebenaran itu berada di pihak orang lain dan bukan di pihaknya. Mereka hanya ingin kebenaran itu datang darinya dan tidak mahu menerima kebenaran itu apabila datang dari orang lain.
“Tidaklah berselisih tentang kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki di antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran berkenaan perkara yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah, 2: 213)
6 – Mereka Meninggalkan Jalan Kebenaran (Prinsip) Yang Telah Ditempuh Oleh Salafus Soleh (Golongan Umat Islam Generasi Awal),
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia bergelumang di dalam kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah an-Nisa’, 4: 115)
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)
7- Umat Islam Terlalu Mengejar Urusan Dunia Dan Takutkan Kematian,
“Hampir-hampir orang-orang kafir ini mengerumuni kamu sebagaimana orang yang lapar mengerumuni hidangannya.” Lalu mereka bertanya: “Adakah jumlah kita pada waktu itu sedikit?” Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab: “Tidak, bahkan jumlahmu ramai sekali. Akan tetapi, kamu seperti buih di atas air. Sungguh Allah akan mencabut perasaan takut di hati musuhmu terhadap kamu, dan sungguh Allah akan menghembuskan rasa wahn (lemah) di hatimu.” Lalu mereka bertanya: “Wahai Rasulullah! Apa itu wahn?” Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab: “Cinta kepada dunia dan takut mati.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 11/371, disahihkan oleh al-Albani dalam al-Misykah, no. 5369)
Perkara ini banyak berlaku pada zaman ini. Ramainya umat Islam berusaha bersungguh-sungguh menimbun kekayaan di dunia dan membina kemewahan hidup dengan harta, rumah besar, kenderaan besar, pakaian berjenama, dan seumpamanya. Namun sayangnya, mereka meninggalkan kewajiban yang sebenar di mana mereka tidak menitik-beratkan permasalahan agama untuk diri-diri mereka. Mereka meremehkan solat, tidak mengeluarkan zakat, meninggalkan kewajiban menuntut ilmu-ilmu agama yang ternyata sangat penting, tetapi mereka sibuk mengejar pangkat dan kemewahan hidup dunia.
8 – Ramainya Umat Islam Yang Mengikuti Pemimpin Yang Menyesatkan,
Dari Tsauban radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Dan sesungguhnya aku bimbang apabila pada umatku ini muncul para pemimpin yang menyesatkan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 11/322)
Hudzaifah Ibnul Yaman bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Adakah setelah datang masa yang baik ini akan datang yang buruk?”
Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab:
“Ya, para da’i (pendakwah) yang mengajak manusia ke Neraka Jahannam. Sesiapa yang mengikuti mereka, pasti dia masuk ke dalamnya.” Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, jelaskan kepada kami siapakah mereka itu?”
Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan:
“Mereka itu kaum kami dan berbicara dengan bahasa dan agama kami.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/439)
Ini dapat kita perhatikan sebagaimana berkembangnya fahaman-fahaman yang menyesatkan di dalam kalangan umat Islam pada hari ini. Iaitu dengan munculnya kelompok-kelompok tertentu yang begitu banyak dengan setiap kelompok menobatkan tokoh-tokoh mereka masing-masing sebagai ulama dan pemimpin yang wajib diikuti. Pemimpin-pemimpin setiap kelompok menyeru kepada kelompok dan fahaman mereka masing-masing.
Sebagai contoh, pada zaman ini munculnya tokoh-tokoh yang lahir dari kelompok Islam liberal, feminisme, hizbiyun, parti-parti politik yang mempergunakan agama, pejuang khilafah yang menolak hadis ahad dalam persoalan aqidah, tokoh-tokoh penyeru yang mengajak memperbanyakkan amalan namun tanpa memperdalami ilmu yang sahih, kelompok Qur’aniyun (anti hadis), al-Ahbash (takfiri/pengkafir/pencaci ulama), golongan pejuang hudud tanpa memperjuangkan aqidah, tokoh-tokoh yang menggunakan sihir atas alasan perubatan, tokoh-tokoh sufi yang mempercayai mimpi sebagai dasar syari’at, dan pelbagai lagi lainnya yang mana jika diukur dengan neraca yang benar pasti akan jelas kebatilan fahaman yang mereka bawa.
9 – Mencipta Perkara-perkara Baru Di Dalam Beragama Dan Meninggalkan Sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
Daripada al-‘Irbadh bin Sariyah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpesan,
“Aku wasiatkan kepada kamu semua supaya selalu mendengar dan taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang budak hitam (Habsyi). Kerana sesungguhnya, sesiapa yang masih hidup (sepeninggalanku) nescaya dia akan melihat banyak perselisihan berlaku. Oleh itu, hendaklah kamu semua berpegang teguh dengan Sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah tersebut dengan gigi geraham. Jauhilah perkara-perkara baru dalam urusan agama (bid’ah), kerana setiap perkara baru di dalam agama itu adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 3851)
Pada ketika ini, begitu banyak sekali bentuk-bentuk amalan yang pada hakikat sebenarnya bukanlah berasal dari apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Tetapi, kebanyakan masyarakat Islam pada hari ini tidak langsung menyedarinya disebabkan kurangnya kefahaman terhadap agama yang mereka pegang lantaran jauhnya mereka dari budaya ilmu yang sahih.
Di antara bentuk-bentuk amalan tersebut adalah seperti mengadakan syi’ar perayaan pada tarikh-tarikh tertentu sepeti maulid nabi, awal muharram (mengadakan sambutan-sambutan khas), atau seumpamanya yang mana tidak pernah dikenali sebelumnya dan tidak datang dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mahu pun para sahabat radhiyallahu ‘anhum. Mengadakan majlis tahlilan, majlis yasinan dari rumah ke rumah pada malam-malam tertentu, melaungkan azan sempena menjelangnya tahun baru hijrah, mempercayai bulan safar sebagai bulan pembawa sial, mengadakan majlis berzanji marhaban di setiap hari raya aidilfitri, berdoa di atas kuburan yang dianggap sebagai kuburan para wali, dan menjadikan ayat-ayat al-Qur’an serta zikir-zikir sebagai bahan nyanyian.
Perbuatan mereka-cipta dan mengamalkan sesuatu bentuk amalan ibadah seperti ini yang mana tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah menyamai dan menyerupai (tasyabbuh) kepada perbuatan kaum Yahudi dan Nashara. Di mana mereka menokok-tambah dan mengubah-suai kandungan kitab-kitab mereka serta mengadakan amalan-amalan yang baru yang tidak pernah ditetapkan oleh Allah melalui Nabi-nabi mereka.
Sebagai contoh, di dalam agama Kristian (Nashara), mereka mewujudkan suatu bentuk perayaan bagi meraikan pengorbanan dan kelahiran jesus (Isa) dengan mencipta sebuah perayaan dinamakan sebagai Chrismas (hari natal). Sedangkan perkara ini tidak pernah pun diajarkan di dalam kitab-kitab mereka dan Nabi Isa ‘alaihis Salam sendiri. Begitu juga dengan perbuatan sebahagian mazhab (aliran) di dalam agama Kristian, di mana mereka menyanyi di dalam gereja-gereja mereka pada waktu-waktu tertentu. Sedangkan perkara ini tidak pernah wujud sebelumnya di dalam ajaran mereka. Ini menunjukkan mereka telah mengubah-suai bentuk dan cara-cara untuk beragama (beribadah) mengikut hawa nafsu mereka sendiri.
Begitu juga di dalam agama hindu, terdapat sebuah perayaan yang dikenali sebagai Thaipusam. Yang mana jika dikaji selidik dari sumber-sumber agama mereka yang asal, bentuk perayaan Thaipusam ini tidak pernah ada. Maka, ia adalah merupakan suatu yang baru bagi mereka yang beragama hindu.
Persoalannya, adakah Islam juga mesti mengalami evolusi dan pengubahsuaian mengikuti rentak golongan agamawan agama yang lain?
Hakikatnya, bentuk-bentuk amalan baru seperti tersebut adalah termasuk ke dalam perbuatan menghina apa yang telah ditetapkan oleh al-Qur’an al-Karim yang merupakan kalamullah yang disampaikan melalui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Perbuatan mereka ini menunjukkan bahawa mereka tidak pernah merasa puas dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bahkan mereka telah mendahului Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang merupakan manusia yang dipertanggungjawabkan menyampaikan agama ini dengan benar lagi amanah. Seakan-akan mereka adalah merupakan kelompok nabi-nabi baru yang membawa syari’at-syari’at baru bertujuan menokok-tambah kekurangan di dalam agama yang sebenarnya telah sedia sempurna disampaikan oleh Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Iman Yang Sahih Dan Beramal Dengan Amalan Soleh Sebagai Formula Umat Islam Meraih Kemuliaan Dan Menuju Kebangkitan Semula
Iman yang sahih yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada pemurnian aqidah (i’tiqad), membersihkannya dari segala bentuk kesyirikan terhadap Allah, dan melaksanakan ibadah semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berdasarkan (bertepatan) dengan apa yang telah ditetapkan melalui dalil-dalil yang sahih. (Sila rujuk perbahasan berkenaan Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, al-asma’ was Shifat dan yang berkaitan dengannya. Rujuk juga artikel: “Menuju Kesempurnaan Dalam Beribadah”).
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh di antara kamu bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan benar-benar Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah (sebelumnya) mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap beribadah kepada-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nur, 24: 55)
Syaikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa’di rahimahullah berkata:
“Ini adalah janji Allah yang benar. Ia telah terbukti sebelumnya, di mana Allah menjanjikan kepada mereka yang beriman dan beramal soleh dari kalangan umat ini menjadi khalifah (pentadbir/penguasa) di permukaan bumi, mereka yang berhak mengatur negerinya. Allah mengukuhkan agama yang diredhai-Nya, (iaitu) agama Islam ini, melebihi agama-agama yang lain kerana keutamaan, kemuliaan, dan kenikmatan di dalamnya. Umat ini berupaya melaksanakan dan menegakkan syari’at Islam secara zahir dan batin sama ada untuk peribadi mahu pun masyarakat. Dengan faktor inilah, umat manusia dari agama lain iaitu semua orang kafir tewas dan menjadi hina. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menghilangkan ketakutan umat ini yang sebelumnya merasa takut untuk menampakkan (menzahirkan) agamanya disebabkan gangguan orang-orang kafir dan jumlah mereka yang masih sedikit. Allah menjanjikan kenikmatan ini pada ketika diturunkan ayat, sehingga kepimpinan di permukaan bumi ini dipegang oleh umat Islam dan tertegaknya syari’at Islam. Negeri pun menjadi aman dan hanya Allah yang diibadahi. Lenyaplah orang yang melakukan kesyirikan. Tidak ada satu pun yang ditakuti selain Allah. Maka berdirinya umat ini adalah di atas dasar iman dan amalnya yang soleh sehingga mereka memiliki darjat (kedudukan) yang tinggi yang tidak diraih oleh umat sebelumnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan negeri ini aman dan penduduknya ahli ibadah. Seterusnya, negara-negara barat dan timur dikuasai oleh kaum muslimin dan menjadi negara Islam. Negeri menjadi aman dan agama Islam ditegakkan. Ini semua adalah tanda kekuasaan Allah yang sangat menakjubkan. Jika umat ini beriman dan beramal soleh maka janji Allah pasti akan ditunaikan. Akan tetapi, umat ini dikuasai oleh orang kafir dan orang munafik kerana mereka tidak memahami (menghayati) dan mengamalkan dua perkara ini.” (Tafsir al-Karimur Rahman, 1/573)
Imam Ibnu katsir rahimahullah turut menjelaskan, dengan katanya:
“Dari sini kita berupaya mengetahui dan menilai akan kebenaran janji Allah dan Rasul-Nya. Maha Benar Allah dan Rasul-Nya. Kita memohon kepada Allah supaya Dia selalu melimpahkan kepada kita keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya serta kekuatan untuk mensyukurinya bersesuaian dengan apa yang diredhai-Nya.
Ar-Rabi’ bin Anas telah meriwayatkan sebuah hadis yang bersumber dari Abul ‘Aliyah ketika menafsirkan firman Allah tersebut, ia berkata,
“Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya tinggal di Makkah sekitar sepuluh tahun. Mereka berdakwah, menyerukan untuk beribadah kepada Allah dan menyembah Sang Khaliq Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Dakwah yang dilaksanakan bersifat rahsia dan secara senyap-senyap. Mereka tidak berani bertindak lebih dari itu, kerana pada ketika itu, masih belum ada perintah untuk berperang. Perintah keluar berperang hanya muncul sekitar selepas mereka berhijrah ke Madinah.
Pada awalnya mereka merasa takut, sama ada di waktu pagi atau pun di petang hari. Mereka selalu sentiasa bersiap sedia dengan senjata. Mereka berada dalam keadaan seperti itu sehingga ke waktu yang dikehendaki oleh Allah... ...Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala pun menurunkan ayat tersebut (an-Nuur, 24: 55).
Allah menjadikan Nabi-Nya mampu menguasai Jazirah arab, sehingga mereka pun merasa aman dan tidak lagi sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga (ketakutan). Kemudian setelah Allah mewafatkan Nabi-Nya, mereka tetap merasa aman di bawah pemerintahan Abu Bakar, Umar dan Ustman...” (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan Pustaka Ibnu katsir, jil. 6, m/s. 431-432)
Beliau juga menjelaskan,
Adalah para Sahabat, kerana mereka merupakan kelompok (komuniti) manusia yang paling mentaati perintah Allah setelah Nabi wafat, maka kejayaan yang mereka perolehi itu adalah bersesuaian dengan (keikhlasan) mereka di dalam menegakkan kalimatullah di penjuru bumi di bahagian timur mahu pun barat. Oleh kerana itu, Allah memperkuatkan (memperkukuhkan) kejayaan mereka sekuat-kuatnya sehingga mereka berupaya menakluki pelbagai negeri lainnya dan menjadi penguasa penduduk negeri yang mereka takluki. Namun ketika umat Islam telah mula lalai dalam menjalani ketaatan kepada Allah, maka menjadi pudarlah kejayaan umat Islam. (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan Pustaka Ibnu katsir, jil. 6, m/s. 436-437)
Dengan dua penjelasan ini, menjelaskan kepada kita bahawa ayat di atas menggambarkan keutamaan orang yang berpegang kepada syari’at Islam yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di mana apabila ianya terbina dengan iman dan amal-amal yang soleh. Dengan dasar pembinaan agama di atas paksi keimanan yang betul dan amal-amal yang soleh tersebut, Allah menjanjikan kepada umat Islam pelbagai kemuliaan, yang di antaranya:
1 - Menjadi pemimpin dan penguasa di permukaan bumi,
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh di antara kamu bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan benar-benar Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah (sebelumnya) mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap beribadah kepada-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nur, 24: 55)
Ibnu Katsir berkata: “Adh-Dhohak berkata: ‘Ayat ini menjelaskan penetapan khalifah Abu Bakar, Umar, Utsman, dan Ali radhiyallahu ‘anhum bahawa mereka itu orang yang beriman dan beramal soleh.” (Tafsir al-Qurthubi, 12/297)
2 - Islam akan ditegakkan dan umatnya mendapat kehidupan yang baik,
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, sama ada lelaki atau pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka usahakan.” (Surah an-Nahl, 16: 97)
3 - Dijamin dengan hidup yang aman serta hilang rasa takut dan kebimbangan,
“Sesiapa sahaja (di antara mereka) yang benar-benar soleh, maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Ma’idah, 5: 69)
4 – Terhindar dari ancaman kehidupan yang sempit,
“Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit....” (Surah Thoha, 20: 124)
5 – Rezeki/berkah dari langit dan bumi,
“Jika sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi....” (Surah al-A’raf, 7: 96)
6 - Dimudahkan segala urusannya,
“Sesiapa bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.”. (Surah ath-Thalaq, 65: 2-3)
Solusi (Penyelesaian) Dalam Meraih Kejayaan (Kemuliaan)
1 – Dengan iman dan ilmu,
“... niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadilah, 58: 11)
Rasulullah mengkhabarkan bahawa umat Islam yang berpegang kepada sunnahnya pasti akan berjaya.
2 – Beribadah Dengan Ikhlas,
Ubay bin Ka’ab radhiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Gembirakanlah umat ini dengan kedudukannya yang tinggi, mulia, dengan agama Islam, dengan kemenangan dan menjadi khalifah di permukaan bumi. Sesiapa beribadah untuk mencari kenikmatan dunia, maka dia tidak akan mendapatkan kebahagiaan di akhirat.” (Hadis Riwayat Ahmad, 20273. Lihat Shahih at-Targhib wat-Tarhib, 2/57)
3 – Menegakkan agama Allah dan mengamalkan (merasa cukup) dengan apa yang Allah tetapkan,
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. Dan orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menyesatkan amal-amal mereka. Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah (al-Quran) lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka.” (Surah Muhammad, 47: 7-9)
4 – Bersatu di atas jalan kebenaran,
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai” (Surah Ali Imran, 3: 103)
“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah an-Nisa’, 4: 115)
5 – Menjauhi perbuatan syirik,
“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-An’am, 61: 82)
6 – Melazimi kesabaran,
Yang terakhir, untuk menuju kepada kejayaan Islam, untuk menempuh semua jalan di atas, wajib disertai dengan kesungguhan dan kesabaran. Kita tidak boleh tergesa-gesa dan berputus-asa, kerana apabila kita hendak menempuh jalan di atas pasti terdapat pembagai halangan, ujian, mahu pun fitnah.
Syaikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah berkata:
“Tidaklah diragukan bahawa umat ini diuji oleh Allah dengan musuh-musuhnya, sebagaimana disebut di dalam surat Muhammad, 47: 31:
“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.”
Umat diuji dengan dihadapkan kepada musuh-musuhnya, maka hendaklah bersabar, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Kamu benar-benar akan diuji dengan hartamu dan dirimu. Dan (juga) kamu benar-benar akan mendengar dari orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan dari orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan. (Surah Ali Imran, 31: 186)
Umat Islam wajib bersabar dan mencari pahala, wajib istiqomah di atas agama yang haq (benar) ini, hendaklah dia tidak bersedih hati mendengar ancaman musuhnya, hendaklah menghukumi manusia dengan hukum Allah. Inilah yang wajib dilaksanakan untuk semua negara Islam, sama ada pemimpin mahu pun rakyatnya. Bila sahaja manusia bersedia dengan beristiqomah di atas agama yang benar di dalam setiap perkataan, perbuatan, dan keyakinannya, maka tidak akan ada yang membahayakan bagi umat ini teriakan musuh dan penipunya.
Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu-daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (Surah Ali Imran, 31: 120).” (Majmu’ Fatawa wa Maqolat Ibnu Baz, 8/171)
Wallahu a’lam...
2 comments:
Alhamdulillah...
Tahniah dan terima kasih atas post yang amat berguna ini.
Salam. Semoga usaha saudara mendapat keberkatan dari Allah SWT.
http://www.jutawansenyap12.blogspot.com
Catat Ulasan