Oleh: Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com
Sedar atau tidak apabila kita berjalan dan singgah di restoran-restoran atau kedai-kedai tertentu, kita mungkin akan melihat beberapa bentuk mushaf (lembaran) atau gambar-gambar ayat-ayat suci al-Qur’an digantungkan dengan pelbagai bentuk dan coraknya. Biasanya ia digantungkan pada dinding sama ada bersebelahan atau di belakang kaunter bayaran. Amalan ini begitu popular dilakukan di kebanyakan premis-premis perniagaan orang Melayu dan restoran-restoran mamak negara kita.
Ayat-ayat al-Qur’an yang biasa digunakan serta menjadi pilihan bagi para peniaga Melayu adalah seperti Surah ath-Thalaq dari ayat dua hingga ayat tiga, atau lebih dikenali dalam kalangan mereka sebagai “ayat seribu dinar”. Wallahu a’lam, tidak diketahui dari mana nama tersebut diambil. Selain dari itu, beberapa ayat al-Qur’an lain yang biasa digunakan adalah dari Surah al-Fatihah dan ayat al-Kursi. Tujuan menggantung ayat-ayat ini menurut mereka antaranya adalah bagi meraih hasil perniagaan yang baik (sebagai pelaris dan mengelakkan kerugian), sebagai penolak bala, dan juga sebagai perhiasan.
Terlebih dahulu apa yang perlu kita fahami adalah bahawa al-Qur’an merupakan sebuah kitab yang diturunkan dengan penuh barakah dan petunjuk bagi mereka yang membaca, mempelajari, memahami, dan mengamalkannya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya): “Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan barakah (kebaikan) supaya mereka memerhatikan (mentadabbur) ayat-ayatnya agar mendapat pelajaran bagi orang-orang yang berakal.” (Surah Shaad, 38: 29)
Pada ayat yang lain, Allah menyatakan bahawa al-Qur’an itu adalah sebagai huda (petunjuk), al-furqon (pemberi peringatan), penjelas (mubin), busyro (berita gembira), rahmat, dan juga sebagai syifa’ (penyembuh bagi penyakit hati). (Rujuk: Syaikh Manna’ al-Qaththan, Mabaahis fii ‘Ulumul Qur’an, m/s. 17-21). Bukannya sebagai penangkal dan pelaris, mahupun sebagai barang-barang perhiasan.
Menjadikan ayat-ayat al-Qur’an sebagai penangkal, pelaris, dan perhiasan adalah di antara contoh salah faham terhadap al-Qur’an oleh sebahagian masyarakat Islam hari ini. Dalam masa yang sama,ia juga turut menyalahi tujuan asal al-Qur’an diturunkan.
Sekiranya perbuatan tersebut adalah suatu yang haq (benar), maka kita perlulah mengemukakan contoh (bukti penjelasan) daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabat beliau yang melakukan amalan-amalan seperti itu. Malah sekiranya kita meneliti dengan baik ayat-ayat al-Qur’an yang digunakan tersebut seperti contohnya “ayat seribu dinar” yang dipetik dari surah ath-Thalaq tersebut, maka kita akan mendapati maksudnya sebagaimana berikut:
“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Sesiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya dan Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” (ath-Thalaq, 65: 2-3)
Ayat ini menyentuh dan menekankan persoalan taqwa, yang dengan ketaqwaan tersebut Allah berjanji akan mengadakan jalan keluar (dari kesusahan), memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, serta mencukupkan segala keperluan seseorang hamba. Adapun yang dimaksudkan dengan taqwa tersebut adalah sentiasa berusaha menjaga diri dari kemurkaan dan kemarahan Allah Subhanahu wa Ta’ala iaitu dengan melaksanakan segala apa yang diperintahkan dan menjauhi apa jua bentuk larangan dalam agama dengan bersungguh-sungguh. ‘Umar B. ‘Abdul ‘Aziz rahimahullah berkata:
ليس تقوى الله بصيام النهار ولا بقيام الليل والتخليط فيما بين ذلك ولكن تقوى الله ترك ما حرم الله وأداء ما افترض الله فمن رزق بعد ذلك خيرا فهو خير إلى خير
“Taqwa kepada Allah bukanlah dengan berpuasa di siang hari, atau berjaga di malam hari untuk beribadah, atau mengerjakan kedua-duanya. Namun, taqwa kepada Allah itu adalah dengan meninggalkan apa sahaja yang diharamkan Allah dan melaksanakan apa jua kewajiban dalam agama. Sesiapa yang dikurniakan kebaikan setelah itu, maka itu adalah kebaikan ke atas kebaikan.” (Ibnu Rejab al-Hanbali (Wafat: 795H), Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 159)
Dengan ini, jelaslah bahawa ayat al-Qur’an yang mereka gantungkan itu sendiri telah menyatakan bahawa di antara cara yang benar dalam meraih rezeki, keluar dari kesusahan, dan mendapat keperluan yang cukup dari sisi Allah adalah dengan sifat taqwa. Bukannya dengan menggantung ayat-ayat al-Qur’an tertentu sebagai pelaris atau tangkal.
Syaikh Dr. Nashir B. ‘Abdurrahman al-Judai’ hafizahullah berkata:
لقد نص جماعة من علماء السلف رحمهم الله – عند كلامهم عل الآداب الخاصة بالقران الكريم – على كراهة كتابة القران الكريم على الجدران، في المسجد وغيرها، أو على الشياب ونحوها، على سبل الاطلاق، ولم يستشنوا ما كان من ذلك لتبرك
وبناء على هذا فإن كتبة آيات القرآن الكريم على الجدران ونحوها، أو كتابتها على أوراق أو ألواح أو أوان ونحوها، ثم تعلق لقصد التبرك بجلب خير أو دفع ضر، فإن هذا التبرك بالقرآن على هذا الوجه ليس مشروعا بل هو أمر مبتدع، ومخالف الهدي الرسول صل الله عليه وسلم، وهدي الصحابة، وأئمة السلف رضي الله عنهم
“Sejumlah ulama salaf (terdahulu), ketika memperkatakan berkenaan adab-adab yang khusus terhadap al-Qur’an al-Karim, mereka menetapkan secara mutlak dibencinya menulis al-Qur’an di dinding-dinding, di dalam masjid, dan selainnya, atau pada pakaian dan seumpamanya. Mereka tidak mengecualikan tulisan yang tujuannya untuk mencari keberkahan.
Berdasarkan keadaan ini, sesungguhnya menulis ayat-ayat al-Qur’an di dinding-dinding dan seumpamanya atau menulisnya di atas lembaran, papan, medium tertentu, dan seumpamanya, kemudian menggantungkannya dengan tujuan mencari atau mengambil berkah kebaikan atau dengan harapan dapat menolak bahaya, maka perkara ini adalah tidak disyari’atkan. Bahkan ianya termasuk perkara yang diada-adakan (membuat bid’ah) dan bertentangan dengan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para sahabat, dan para imam salaf (ulama generasi awal) yang diredhai.” (Syaikh Dr. Nashir B ‘Abdurrahman al-Judai’, at-Tabarruk Anwa’uhu wa Ahkamuhu, m/s. 239, Maktabah ar-Rosyad (Riyadh, 1411H))
Manakala berkenaan ayat al-Kursi, disebutkan pula melalui hadis-hadis yang sahih bahawa sesiapa yang mengamalkan membacanya pada awal pagi atau awal malam, maka ia akan dilindungi dari gangguan syaitan. Hadis ayat al-Kursi tersebut sama sekali tidak menyebutkan supaya kita menggantungkannya di dinding-dinding sebagai perhiasan mahupun sebagai tangkal, tetapi adalah dengan membacanya, memahaminya dan mengamalkannya.
Bahkan lebih bahaya, perbuatan menggantung ayat-ayat al-Qur’an tertentu ini sebenarnya boleh menjerumuskan pelakunya kepada kesyirikan. Ini boleh berlaku sekiranya si pelaku berkeyakinan (mempercayai) bahawa dengan cara menggantung atau meletakkan ayat-ayat al-Qur’an tersebut mampu mendatangkan barakah (kebaikan), dapat menolak bala atau sial, mendatangkan rezeki, memberi keuntungan dan seumpamanya. Sedangkan tiada dalil sama ada dari al-Qur’an mahupun as-Sunnah yang mendukung perbuatan seperti itu.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ
“Sesungguhnya ruqyah (bacaan mantera), tamimah (tangkal atau azimat – pent.), dan tiwalah (sihir pengasih) adalah syirik.” (Hadis Riwayat Ahmad, 6/110, no. 3615. Abu Daud, 10/386, no. 3385. Dinilai sahih oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
Juga sebagaimana hadis marfu’ daripada ‘Uqbah B. ‘Amir radhiyallahu ‘anhu, katanya:
إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ
“Sesiapa yang mengantungkan tamimah (tangkal), semoga Allah tidak menunaikan keinginannya.” (Hadis Riwayat Ahmad, 28/623, no. 17404. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)
Dari itu adalah lebih baik perbuatan tersebut ditinggalkan melainkan padanya didukung oleh dalil yang jelas dari al-Qur’an dan as-Sunnah. Syaikh ‘Abdurrahman B. Hasan Alu Syaikh melalui kitabnya, Fathul Majid Syarah Kitabut Tauhid menyebutkan bahawa, “‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhuma melarang segala bentuk tamimah (tangkal) sama ada ianya dari ayat-ayat al-Qur’an ataupun selainnya.”
Akhir sekali, perlu juga kita ketahui bahawa ayat-ayat al-Qur’an bukanlah barang-barang perhiasan. Perbuatan menggantungkannya seperti pada dinding-dinding atau cermin-cermin kenderaan tertentu dengan tujuan perhiasan adalah termasuk perbuatan merendah-rendahkan al-Qur’an. Ini semua perlu dikembalikan kepada tujuan asal penurunan al-Qur’an. Adakah menjadikannya sebagai barang perhiasan termasuk di antara tujuannya? Pernahkan ia dicontohkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam serta para ulama generasi awal di tiga kurun yang utama? Atau ia termasuk perkara baru yang diada-adakan dalam agama. Justeru, sama-samalah kita menilainya berpandukan ilmu di atas sumber yang benar.
Oleh itu, kesimpulannya:
1 – Ambillah ayat-ayat al-Qur’an dengan cara yang betul, iaitu dengan bimbingan ilmu, membaca, berusaha memahami dan mempelajarinya (mentadabbur), sekaligus mengamalkannya.
2 – Apa yang disarankan melalui ayat surah ath-Thalaq, 65: 2-3 itu sendiri menyuruh kita bertaqwa yang dengannya Allah akan mengeluarkan dari kesusahan, memberi rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan mencukupkan keperluannya. Bukan menggantungkannya sama ada di dinding-dinding sambil mengharap sesuatu.
3 – Ayat-ayat al-Qur’an bukan bahan untuk dijadikan tangkal dan alat pelaris. Perbuatan mempercayai tangkal itu sendiri termasuk dalam perkara syirik dan berdosa besar.
4 – Langkah terbaik untuk meminta pertolongan adalah dengan cara bertaqwa dan berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, dan Maha Pemberi Rezeki. Di samping sentiasa berinisiatif meningkatkan daya usaha dan mempelbagaikan strategi pemasaran perniagaan yang betul. Wallahu a’lam...
5 comments:
Apa pendapat anda mengenai tawasul pula? Saya amat nak tahu..
AssalaamUalaikum... Its really great. I really appreciate it.
Dear, TAWASUL means connect(ed)...
I hope you understand now...
Sekurang2nya apa bila kita gantung ayat al-quran dan kita melihat dapat juga pahala dari tak buat.
daripada kita mengantung gambar-gambar tiada ertinya lebih baik pula kita mengantung ayat-ayat al-Quran sekurang-kurang kita menghargai dan menghormati akan kemuliaan ayat-ayat tersebut....Namun semuanya bergantung kepada niat seseorang itu sama ada baik atau sebaliknya....secara keseluruhannya saya setuju pendapat saudara pengarang kerana pada zaman sekarang orang kita lebih suka menonton daripada membaca....Assalammualaikum...
al-Qur'an dimuliakan dengan tadabbur, hafalan, dan mengamalkannya.
Bukan digantung dan dijadikan sbg perhiasan mahupun utk mengambil berkah.
Wallahu a'lam.
Catat Ulasan