“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Jumaat, Oktober 22, 2010

Meraih Kemaslahatan Dengan Siyasah Syar'iyyah

Meraih Kemaslahatan Dengan Siyasah Syar'iyyah

Oleh: Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com

Al-Siyasah (politik) dalam bahasa ‘Arab bererti menguruskan sesuatu urusan dan memperbaikinya. Apabila dikatakan Sasa al-‘Amr siyasah (ساس الأمر سياسة) bererti ia melaksanakannya.

Dalam hadis disebutkan,

كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء

Bani Israel telah ditadbir (tasusuhum (mereka disiyasahkan)) oleh para nabi.” Maksudnya, nabi-nabi menguruskan hal-ehwal mereka sebagaimana yang dilaksanakan oleh para pemerintah yang menguruskan hal-ehwal rakyatnya.

Al-Siyasah dari sudut istilah pula memiliki beberapa definisi. Di antaranya adalah mentadbir urusan negara. Juga disebutkan sebagai suatu ilmu atau kemahiran dalam urusan memerintah negara.

Hakikatnya, politik adalah meliputi ilmu dan kemahiran. Ia merupakan ilmu kerana ia memiliki prinsip-prinsip dan disiplin-disiplin tertentu yang secara keseluruhannya membentuk “ilmu politik”. Politik pula sebagai kemahiran kerana dalam realiti perlaksanaannya ia tidak mungkin terhad kepada semata-mata melaksanakan undang-undang yang bersifat teori dan tidak juga kepada perlaksanaan sebenar kekuasaan/kekuatan, malah ia menuntut kepakaran tertentu yang diperolehi melalui pengalaman dan pengetahuan berkaitan kaedah-kaedah praktikal tertentu.

Sistem politik pula adalah satu struktur yang mengatur hubungan di antara pemimpin dengan orang bawahan dan ia terbentuk daripada keseluruhan institusi yang mengatur masyarakat awam dan institusi yang mengatur kekuasaan. Teks sistem politik terdapat dalam perlembagaan di pelbagai negara. Sistem-sistem politik juga berbeza-beza berdasarkan sumber kekuasaan, cara mengatur, dan sturktur negara.

Politik dari perspektif Islam adalah menjaga hal-ehwal rakyat di dalam dan di luar negara dengan cara yang tidak bertentangan dengan syara’. Politik yang syar’i tidak hanya terbatas kepada apa yang disebutkan oleh syara’ secara khusus, tetapi apa yang penting adalah dengan tidak menyalahi teks al-Qur’an, as-Sunnah, ijma’ umat Islam (para ulama), kaedah-kaedah syara’, serta prinsip-prinsip agama secara umum. (Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 9-10)

‘Abdul Wahhab Khallaf (Wafat: 1357H) menyebutkan,

فالسياسة الشرعية هي تدبير الشئون العامة للدولة الإسلامية بما يكفل تحقيق المصالح ودفع المضار مما لا يتعدى حدود الشريعة وأصولها الكلية، وإن لم يتفق وأقوال الأئمة المجتهدين

“Siyasah syar’iyah adalah proses pentadbiran yang selari dengan syara’, yang mana perjalanan urus tadbirnya berfungsi menjaga kepentingan rakyat melalui ruang lingkup daulah Islam dengan cara-cara yang dapat menjamin tercapainya kemaslahatan (kebaikan) umum, dapat menolak pelbagai bentuk kerugian, dan tidak dengan melanggar batas-batas Islam serta kaedah-kaedah asasinya, walaupun tidak selari dengan apa yang diutarakan oleh para imam mujtahid. (‘Abdul Wahhab Khallaf, Siyasah Syar’iyah, m/s. 15. Dinukil dari: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jazairi, Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 142-143)

لا سياسة إلا ما نطق به الشرع فغلط، وتغليط للصحابة، وهذا موضع.. فرط فيه طائفة، وجعلوا الشريعة قاصرة لا تقوم بِمصالح العباد، محتاجة إلى غيرها.. فلما رأى ولاة الأمور ذلك.. أحدثوا من أوضاع سياساتِهم شرًّا طويلاً، وفسادًا عريضًا، فتفاقم الأمر، وتعذر استدراكه.. فإن الله -سبحانه- أرسل رسله، وأنزل كتبه، ليقوم الناس بالقسط، وهو العدل.. فإذا ظهرت أمارته وأسفر وجهه بأي طريق كان، فثم شرع الله ودينه

Sekiranya politik adalah apa yang disebut oleh syara’ semata-mata, maka ia adalah satu kesilapan dan menyalahi kefahaman para sahabat. Ini merupakan suatu perkara yang tidak difahami oleh sekumpulan manusia, lalu dengan itu mereka telah menjadikan syari’at itu lemah dan tidak mampu menangani keperluan manusia sehingga ia memerlukan (beralih) kepada yang lain. Maka apabila para pemimpin melihat keadaan ini... mereka pun melakukan kejahatan yang berpanjangan dan kerosakkan yang luas dalam sistem politik mereka, lalu ia menjadi semakin rumit dan sukar untuk ditangani. Sebenarnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengutuskan para Rasul-Nya dan menurunkan Kitab-kitab-Nya supaya manusia dapat berlaku adil... maka apabila terdapat tandanya dan ia nampak jelas dalam apa bentuk sekalipun, maka itulah yang dikatakan syari’at dan agama Allah. (Rujuk: Ibnul Qayyim, at-Turuq al-Hukumiyat wa as-Siyasah asy-Syar’iyyah, m/s. 18)

Maka dengan itu, kita sendiri perlu membentuk dan menyusun perundangan yang bersesuaian dengan keperluan dan tuntutan-tuntutan kehidupan kita dengan syarat kita tidak membenarkan diri kita mencipta undang-undang yang bertentangan dengan nash dan kandungan syari’at, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberi amaran kepada kita daripada perkara-perkara tersebut. (Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 10-11)

Syaikh ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri mengutarakan sebuah nasihat, “Yang disebutkan dengan politik itu adalah undang-undang pemerintahan, menegakkan keadilan, badan eksekutif sesebuah negara, pembentukan barisan tertinggi negara, pentadbiran ketenteraan dan juga yang selainnya yang diperlukan. Perkara ini dapat kita baca melalui kitab-kitab seperti Ghiyatul Umam karya al-Juwaini, al-Akham as-Sulthaniyah karya al-Mawardi dan juga (dengan judul yang sama) karya Abu Ya’laa al-Farra’, Taratib al-Idariyah karya ‘Abdul Hayy al-Kattani dan selainnya. Sudah tentu hukumnya adalah wajib, sama ada menurut syari’at atau akal, kerana urusan rakyat banyak yang tidak tersusun dengan baik tanpa ada pemimpin yang adil mahupun yang zalim (bagi sesebuah pentadbiran dan pemerintahan). Ibnu Hibban al-Busti rahimahullah berkata:

وأنشدني ابن زنجي البغدادي للأفوه الأودي

لا يُصلح الناسَ فوضى لا سَراة لهم ولا سَـراة إذا جـهّـالهـم ســادوا
والبــيـت لا يـُبتـنـى إلا بـأعـمــدة ولا عـمـاد إذا لم تُــرسَ أوتـــادُ

فإن تـَجـمَّع أوتادٌ وأعمدةٌ وساكنٌ أدركــوا الأمـــر الـذي كــادوا
تُهدَى الأمور بأهل الرأي ما صلــ ـحت فإن تَوَلَّت فبالأشرار تنقادُ

“Ibnu Zanji al-Baghdadi membawakan sebuah syair yang beliau tujukan untuk al-Afwah al-Audi:

Tidak akan selesai urusan manusia tanpa ada pemimpin

Dan tidak ada gunanya apabila orang-orang jahil yang memimpin

Rumah tidak akan terbina tanpa ada tiang

Dan tidak ada gunanya tiang sekiranya bukan dari kayu-kayu yang kukuh

Jika asas tiang dan atap telah terpasang

Barulah penghuninya mendapatkan keinginan yang hampir terluput

Urusan akan menjadi baik apabila ditangani oleh orang bijaksana

Jika tidak, maka mereka akan dipandu oleh orang-orang jahil.”


Sebelumnya beliau menyebutkan sebuah kata hikmah yang terkenal,

سلطان غشوم خير من فتنة تدوم

Penguasa yang zalim lebih baik daripada kekacauan yang tiada henti.” Ibnu Taimiyyah rahimahullah pula menyebutkan, “Setiap orang perlu tahu bahawa mengatur urusan masyarakat merupakan kewajiban agama yang paling agung. Bahkan agama dan dunia tidak akan menjadi baik tanpa perkara ini. Manusia tidak akan dapat mengurus kepentingan mereka apabila tidak bersatu-padu, mereka pasti saling memerlukan di antara satu dengan yang lain. Dan mereka perlu bersatu di bawah ketaatan seorang pemimpin.” Seterusnya beliau mengatakan, “Allah telah mewajibkan amar ma’ruf nahi mungkar. Dan kewajiban itu tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa adanya kekuatan dan pemerintahan. Oleh kerana itulah diriwayatkan dalam sebuah hadis,

أن السلطان ظل الله في الأرض

Penguasa adalah naungan Allah di muka bumi.” Juga disebutkan bahawa,

ستون سنة من إمام جائر أصلح من ليلة بلا سلطان

Enam puluh tahun di bawah kepimpinan penguasa yang zalim lebih baik daripada semalaman tanpa ada pemimpin.” Pengalaman yang banyak berlalu telah membuktikan realiti ini.” (Rujuk: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri, Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 143-144)

Apa yang dimaksudkan oleh ‘Abdul Wahhab Khallaf “...walaupun tidak selari dengan apa yang diutarakan oleh para imam mujtahid”, maksudnya adalah: Bahawa mengambil kebijaksanaan politik itu bukanlah hanya tugas para ulama terdahulu sahaja. Tetapi setiap alim ulama yang luas ilmunya yang mampu berijtihad di dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan yang sedang dihadapi masyarakat dengan batasan-batasan yang telah disebutkan di atas. Oleh sebab itu beliau menyatakan: “Siyasah syar’iyah termasuk usaha mewujudkan maslahah mursalah.” Kerana maslahah mursalah adalah maslahah (kebaikan) yang tidak ditetapkan secara khusus oleh agama. (Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 145)

Wallahu a’lam...

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

salam
memang pemerintahan adalah sebahagian dari amalan yg telah ditunjukkan oleh Rasul dan 4 khalifah. Bahkan melantik dan baiat kepada Abu Bakar sebelum diuruskan jenazah nabi membuktikan pemilihan seorang pemimpin adalah wajib, mendahului faudhu kifayah.
yang jadi persoalannya apakah cara melantik yg terbaik yg syar'i. Apakah sistem demokrasi boleh digunakan semuanya tanpa pindaan. Demokrasi dari rakyat, kepada rakyat untuk rakyat. Ini membawa perselisihan dengan sistem pemerintahan Islam, dimana mereka yg dilantik dengan cara apapun hanya menunaikan amanah menegakkan syariat Allah.