“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Khamis, Oktober 16, 2008

SELAMAT DI ATAS PRINSIP SALAF

SELAMAT DI ATAS PRINSIP SALAF
http://an-nawawi.blogspot.com

Definisi Salaf

As-Salaf secara bahasa atau etimologi, menurut pengarang kitab Lisanul ‘Arab adalah berasal dari kata salafa, yaslufu, sulufun, dan suluufan yang membawa maksud “taqaddama” (mendahului). Salaf adalah orang yang mendahuluimu, yang terdiri dari ibu bapamu dan keluargamu yang lebih dahulu atau yang lebih tua usianya dan lebih mulia darimu.

As-Salaf secara istilah atau terminologi adalah merujuk kepada generasi Sahabat, Tabi’in, Tabi’ut Tabi’in, dan sesiapa yang mengikuti mereka dalam kebaikan dan petunjuk. (Lihat: Sikap Ahlussunnah wal Jama’ah Terhadap Ahli Bid’ah Dan Pengikut Hawa Nafsu, oleh Syaikh Dr. Ibrahim Amir ar-Ruhaili, Terbitan Darul Falah, jil 1, m/s. 63)

Dengan ini, perkataan as-Salaf dinisbahkan kepada para imam mutaqaddimin (yang terdahulu) yang terdiri dari para ulama generasi pertama, kedua, dan ketiga yang diberkahi. Mereka adalah para Sahabat radhiyallahu ‘anhum, Tabi’in, dan Tabi’ut Tabi’in yang disebutkan di dalam banyak hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. (Lihat: Manhaj ‘Aqidah Imam asy-Syafi’i, oleh Syaikh Dr. Muhammad bin A. W. Al-‘Aqil, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 57)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya), “Sebaik-baik manusia adalah dari generasiku (para sahabat), kemudian dari generasi selepasnya (tabi’in), dan kemudian generasi selepasnya (tabi’ut tabi’in). Setelah itu datanglah kaum yang kesaksian salah seorang dari mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului kesaksiannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ahlus Sunnah Yang Sebenar Adalah Pengikut Salaf

Penisbahan nama Ahlus Sunnah wal Jama’ah bermula pada akhir zaman sahabat. Manakala sebahagian pandangan menyatakan bahawa ia bermula apabila timbulnya zaman fitnah di era kepimpinan Ali dan Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhuma. Iaitu di mana munculnya golongan ahli bid’ah dari kelompok Khawarij, Rafidhah (atau Syi’ah), Jahmiyah, Qadariyah, dan seumpamanya yang mana mereka dikenali dengan pelbagai perbuatan bid’ah dan penyimpangannya dalam menafsirkan al-Qur’an dan as-Sunnah. Maka, atas sebab perselisihan yang melanda, para ulama pada masa tersebut serta selepasnya telah mengambil kata Ahlus Sunnah sebagai suatu bentuk penisbahan kepada golongan yang benar.

Ibnu Hazm rahimahullah menjelaskan bahawa, “Ahlus Sunnah yang dimaksudkan adalah golongan yang berada di atas kebenaran, manakala selain mereka adalah Ahli Bid’ah. mereka (Ahlus Sunnah) adalah para Sahabat radhiyallahu ‘anhum dan setiap orang yang berpegang kepada prinsip-prinsip mereka (dalam beragama) dari kalangan Tabi’in yang terpilih. Kemudian para ahli hadis dan golongan yang mengikuti mereka dari kalangan para fuqaha dari generasi ke generasi sehingga ke zaman kita ini. Juga golongan yang mengikuti mereka dari kelompok masyarakat awam di timur dan barat semoga rahmat Allah ke atas mereka.” (Lihat: Sikap Ahlussunnah wal Jama’ah Terhadap Ahli Bid’ah Dan Pengikut Hawa Nafsu, oleh Syaikh Dr. Ibrahim Amir ar-Ruhaili, Terbitan Darul Falah, jil 1, m/s. 32)

Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah, katanya, “Mereka (Ahlus Sunnah) adalah orang-orang yang berpegang teguh kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdasarkan kesepatan generasi terawal dari kalangan kaum Muhajirin, Anshar, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik.” (Lihat: Sikap Ahlussunnah wal Jama’ah Terhadap Ahli Bid’ah Dan Pengikut Hawa Nafsu, oleh Syaikh Dr. Ibrahim Amir ar-Ruhaili, Terbitan Darul Falah, jil 1, m/s. 33)

Penisbahan kepada nama Ahlus Sunnah adalah berpandukan kepada hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri. Dan di antara nama-nama lain yang tsabit dari hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah seperti al-Firqah an-Najiyah (golongan yang selamat), ath-Thaifah al-Manshurah (golongan yang mendapat pertolongan), dan as-Salaf itu sendiri. Perlu kita fahami bahawa dengan nama-nama yang masyhur ini bagi Ahlus Sunnah, tidaklah ia sekali-kali menafikan dari penisbahan asas kepada Islam, kerana nama-nama itu sendiri adalah merujuk kepada prinsip-prinsp Islam yang sebenar. (Lihat: Sikap Ahlussunnah wal Jama’ah Terhadap Ahli Bid’ah Dan Pengikut Hawa Nafsu, oleh Syaikh Dr. Ibrahim Amir ar-Ruhaili, Terbitan Darul Falah, jil 1, m/s. 41)

Pernisbahan nama ini bukanlah suatu ciptaan atau penisbahan yang diambil dari nama tokoh-tokoh tertentu seperti mana yang berlaku kepada kelompok Ahli Bid’ah dari golongan Jahmiyah yang mengambil sempena nama tokoh mereka al-Jahm bin Shafwan, az-Zaidiyah yang dinisbahkan kepada Zaid bin Ali, al-Kulabiyah kepada Abdullah bin Kullab, atau al-Asy’ariyah kepada Abu Hasan al-Asy’ari. Bukan juga diambil dari penzahiran perbuatan sesuatu kelompok itu terhadap bid’ahnya sebagaimana contohnya penisbahan nama ar-Rafidhah disebabkan mereka menolak kepimpinan Zaid bin Ali, al-Qadariyah kerana penyimpangan mereka dalam persoalan takdir, Murji’ah kerana menyatakan amal tiada kaitan dengan iman, dan Khawarij kerana mereka keluar dari kepimpinan khalifah Ali bin Abu Thalib radhiyallahu ‘anhu.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya), “Hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah Khulafa’ur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya walaupun sehingga menggigitnya dengan gigi geraham. Jauhilah kamu dari perkara-perkara yang baru (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap perkara baru itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu adalah kesesatan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

“Sesungguhnya Bani Isra’il telah berpecah-belah menjadi 72 golongan, dan umatku akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Mereka semua di neraka kecuali satu golongan (yang selamat)”. Para sahabat bertanya: “Siapakah golongan (yang selamat) itu wahai Rasulullah?” Beliau menjawab: “Mereka yang berjalan dengan jalan di mana aku dan para sahabatku ada di atasnya”.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Dalam riwayat yang lain (maksudnya): “Dan umatku ini akan berpecah menjadi 73 golongan, semuanya di neraka kecuali satu”. Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang keadaannya sentiasa berada di atas jalanku dan jalan para sahabatku”.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani)

Di sini menunjukkan bahawa prinsip kebenaran dalam beragama itu adalah berpandukan kepada prinsip para sahabat yang merupakan golongan Salaf (generasi awal). Iaitu dengan meneliti bagaimana mereka berpegang kepada Kitabullah (al-Qur’an) dan sunnah Rasul-Nya. Maka, begitu jugalah wajib untuk kita mengambil dan memahami al-Qur’an dan as-Sunnah iaitu berdasarkan kefahaman dan tafsiran generasi salaf yang terbaik iaitu para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang diredhai dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik. Menurut Imam Ahmad rahimahullah, “Prinsip-prinsip Ahlus Sunnah menurut kami adalah berpegang teguh dengan prinsip yang dipegang oleh para sahabat Rasulullah dan berqudwah (mengambil contoh) dari mereka.” (Ushul as-Sunnah, oleh Imam Ahmad, Tahqiq oleh Walid bin Muhammad Nubaih, Terbitan Pustaka Darul Ilmi, prinsip no. 1)

Memahami Agama Di Atas Prinsip Salaf

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka Syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 9: 100)

Setiap umat Islam secara asasnya mereka sentiasa berpegang teguh dengan al-Qur’an dan as-Sunnah. Namun, kita tetap melihat bahawa ia terus menerus melahirkan pelbagai perbezaan dan perpecahan. Ini antara yang paling utama adalah kerana kaedah yang mereka pegang dalam mengambil dan memahami al-Qur’an dan as-Sunnah itu berbeza-beza, ada yang benar dan ada yang salah. Maka, untuk menghapuskan perbezaan tersebut, hanyalah dengan kembali merujuk kepada kefahaman (tafsiran) para salaf yang terdiri daripada golongan Sahabat radhiyallahu ‘anhum... Ini adalah kerana mereka (Sahabat radhiyallahu ‘anhum) telah menyaksikan (mengalami) sendiri turunnya al-Qur’an dan mengetahui (memahami) tafsiran yang sebenar secara langsung dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. (Lihat: Madarikun Nazhar fi as-Siyasah, oleh Syaikh Abdul Malik Ramadhani al-Jazairi, Terbitan Pustaka Imam Bukhari, jil. 1, m/s. 13-14)

Dengan ini dapat kita fahami bahawa dalam prinsip beragama, adalah suatu yang wajib untuk kita mengambil dan memahaminya dengan berpandukan sebagaimana apa yang telah sedia difahami oleh para Salaf yang terbaik iaitu dari golongan manusia yang paling awal beriman (para sahabat) dan mereka yang mengikuti mereka dengan baik. Maka, prinsip-prinsip aqidah dan keimanan yang kita bina mestilah berpandukan kepada prinsip-prinsip keimanan yang mereka contohkan. Begitulah juga dengan kaedah-kaedah perlaksanaan amal-amal kita dalam beribadah di mana yang dinamakan sebagai amal yang soleh itu mestilah ada contohnya dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpandukan kefahaman generasi salaf yang terbaik (yang soleh). Dengan itu, sekaligus kita menolak dan meninggalkan sebarang tafsiran yang menyimpang yang terbina selain dari kefahaman tersebut. Di mana kebanyakan hasil agama yang menyimpang itu sebenarnya adalah bermula dari kaedah penafsiran yang mengutamakan akal, mengikuti hawa nafsu, dan membelakangkan prinsip-prinsip para salaf.

Secara umumnya, kaedah-kaedah atau prinsip-prinsip para salaf tersebut adalah dengan,

1 - Mengambil Zahir al-Qur’an dan as-Sunnah di dalam setiap persoalan aqidah. Iaitu dengan mendahulukan wahyu berbanding akal dan tidak meremehkan salah satu darinya sama ada daripada al-Qur’an atau pun as-Sunnah iaitu dengan meletakkan as-Sunnah seiring al-Qur’an.
2 - Menghormati ucapan para Sahabat radhiyallahu ‘anhum dengan mengambil kefahaman dan segala fakta yang datang dari mereka.
3 - Memelihara akal agar tidak membahaskan sesuatu yang diluar kemampuannya.
4 - Berwaspada terhadap segala bentuk perkara-perkara baru (bid’ah) yang muncul dalam prinsip-prinsip beragama.
5 - Memberi perhatian serta keutamaan kepada kesatuan kaum muslimin bagi tujuan menjauhi perpecahan. (Lihat: Manhaj ‘Aqidah Imam asy-Syafi’i, oleh Syaikh Dr. Muhammad bin A. W. Al-‘Aqil, Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i, m/s. 58-76)

3 comments:

Tanpa Nama berkata...

mcm mane pulak dgn prinsip khalaf?>

MOHAMAD AKMAL berkata...

hakikatnya manhaj salaf itu adalah terbaik, tetapi kita sekarang berada di zaman khalaf dan tak boleh boleh berundur ke zaman salaf

Tanpa Nama berkata...

Sekiranya kita mengira dari sudut konteks zaman, Ya, memang benar kita tidak boleh kembali ke zaman mereka, zaman silam.

Tapi, kita memegang prinsip2 yg mereka tinggalkan kpd kita dalam beragama. Mereka meninggalkan al-Qur'an, as-Sunnah, dan cara memahami al-Qur'an dan as-Sunnah itu sendiri.

Bagaimana kita beraqidah dan beribadah? Sudah tentu sebagaimana mereka beraqidah dan beribadah. Kerana agama itu didatangkan melalui mereka.

Wallahu a'lam, sekadar berkongsi, Artikel ini telah keluar di dalam Majalah i edisi November 2008.