“Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan baik.” (Diucapkan di penghujung solat setelah tahiyat akhir sebelum salam – Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, 1/239, no. 690. Abu Daud, 4/318, no. 1301. An-Nasaa’i, 5/86, no. 1286. Dinilai sahih oleh al-Albani)
__________________________________________________________________________________

| Nawawi | Aqeedah | Fiqh | Anti Syirik | Galeri Buku | Galeri MP3 | U-VideOo |
__________________________________________________________________________________

Ahad, November 28, 2010

Memurnikan Citra Cinta Buat Kekasih

Memurnikan Citra Cinta Buat Kekasih




Secara fitrahnya, memang manusia tidak dapat dipisahkan dari sifat cinta, rindu, benci, marah, suka, dan sayang. Sifat-sifat inilah yang menjadikan kita bernama manusia. Ditambah dengan keistimewaan akal kurniaan Ilahi dan tubuh anggota yang sempurna. Dicukupkan pula dengan panduan (agama) dalam mengharungi setiap perjalanan dan liku-liku kehidupan. Cukup istimewa kita ini.

Dalam citra hidup ini, sekadar cinta tidak akan mampu membuahkan kebahagiaan dan tujuan sebenar kehidupan. Cinta itu punya panduan dan disiplin juga. Bukan hanya sekadar perasaan dan mainan jiwa. Lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan cinta kepada Tuhan.

Janganlah kita seumpama kaum Nashara yang disesatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala walau mengaku cinta kepada-Nya. Lantaran keluar dari disiplin cinta mengakui Tuhan itu “Tiga dalam satu”. Sehingga hampir-hampir langit terpecah, bumi terbelah, dan gunung berantakan kerana kalimat “Tuhan memiliki anak” disuarakan. Maha Suci Allah dari semua itu dan Allah sendiri menyatakan bahawa Allah itu Maha Esa dan tidak punya anak apatah lagi diperanakkan. Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, melainkan akan datang kepada Allah sebagai seorang hamba.

Jangan pula kita menjadi seperti golongan yahudi yang dimurkai oleh Allah akibat cintanya yang berdolak-dalih kepada Allah. Banyak bertanya dan mempersoalkan apa yang bukan urusan.

Citra cinta Yahudi dan Nashara tidak berakhir begitu sahaja. Mereka menjadi lebih sesat apabila mengubah-suai dan mereka-reka isi kitab yang diturunkan kepada mereka buat panduan. Seolah-olah mereka lebih bijak dari Tuhan yang menurunkan kitab. Walhal, merekalah golongan yang rugi kerana meninggalkan petunjuk dan menukarnya dengan kesesatan.

Allah berfirman tentang perbuatan mereka ini (maksudnya), “Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakan, “Ini dari Allah”, (dengan tujuan) untuk memperolehi keuntungan yang sedikit dengan perbuatan tersebut. Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka akibat apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Baqarah, 2: 79)

Suatu yang membimbangkan apabila tradisi kaum Yahudi dan Nashara tersebut pada zaman ini telah diikuti oleh sebahagian umat Muhammad. Ini adalah sebagaimana apa yang dilakukan oleh kelompok Syi’ah sebagai kelompok sesat yang paling ketara kesesatannya dan telah diwartakan pula kesesatannya tersebut oleh Jabatan Agama dan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Fatwa di negara kita. Mereka ini mengubahsuai al-Qur’an dan mereka-reka hadis-hadis baru sehingga tampak jelas keluar dari methodologi syara’. Mengaku cintakan Allah dan Rasul sehingga membenci generasi manusia terbaik yang diperakui oleh al-Kitab dan as-Sunnah. Mengaku cintakan Tuhan, sehingga mempertuhankan imam-imam mereka. Tidak ubah seperti Yahudi yang mempertuhankan rahib-rahib dan para pendeta. Mengaku cintakan Nabi dan Ahlul Bait (keluarga Nabi), sehingga membenci, mencaci, bahkan sanggup mengkafirkan orang-orang yang dicintai Nabi dari kalangan para sahabat radhiyallahu ‘anhum. Begitulah sebahagian sikap syi’ah dalam beragama. Takiyah (kepura-puraan) atas nama Islam adalah rukun utama dalam memukau masyarakat supaya menerima idea pemikiran mereka. Sekiranya kita melihat jauh ke negara yang dibanggakan oleh mereka, acara-acara meratap dan penyembahan kubur bukan lagi perkara aneh. Mereka mengaku cintakan al-Husein dan Saidina Ali radhiyallahu ‘anhu, sehingga setiap tahun diadakan acara peringatan, tangisan, dan ratapan besar-besaran dengan memukul-mukul dan mencederakan tubuh sempena pesta khas hari Asyura di tanah perkuburan Karbala. Hakikatnya, al-Husein dan Ali berlepas diri dari semua tindakan tersebut. (Fatwa-fatwa berkaitan kesesatan Syi’ah antaranya boleh dirujuk di website Bahagian Pengurusan Fatwa JAKIM - http://www.e-fatwa.gov.my/)

Manakala Nabi yang menyampaikan syari’at sedikit pun tidak pernah mendidik kita supaya melakukan perkara-perkara tersebut. Di zaman Nabi bersama-sama para sahabatnya bukan sedikit manusia ternama yang wafat sama ada dari kalangan keluarga, anak isteri, atau para syuhada, tetapi sedikitpun tidak pernah terdapat walau satu sunnah yang menganjurkan perkara tersebut sebagaimana amalan kelompok sesat syi’ah. Jangankan ratapan dan pesta peringatan, majlis tahlil dan doa selamat pun tidak pernah para sahabat lakukan. Ini semua patut dikembalikan kepada apa yang telah dicontohkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Cuma kebimbangan yang patut kita rasai adalah apabila fahaman syi’ah ini kelihatan mula berkembang dan tersebar di negara kita dengan subur. Ini dapat dilihat melalui blog-blog di internet, sebahagian karya-karya kreatif seperti novel, dan tulisan-tulisan di media-media tertentu. Termasuk bergerak secara senyap dan halus melalui parti-parti politik tertentu yang bergerak atas nama perjuangan agama. Sedangkan Majlis Fatwa telah mewartakan supaya apa-apa jua bahan yang memiliki ideologi Syi’ah yang boleh membawa kepada penyebarannya adalah dilarang sama sekali. (Rujukan: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-mengenai-fahaman-syiah-0)

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman (maksudnya), “Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka): “Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu.” Dan Allah maha Pengampun lagi maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menjelaskan dalam tafsirnya:

هذه الآية الكريمة حاكمة على كل من ادعى محبة الله، وليس هو على الطريقة المحمدية فإنه كاذب في دعواه في نفس الأمر، حتى يتبع الشرع المحمدي والدين النبوي في جميع أقواله وأحواله، كما ثبت في الصحيح عن رسول الله صلى الله عليه وسلم أنه قال: مَنْ عَمِلَ عَمَلا لَيْسَ عليه أمْرُنَا فَهُوَ رَدُّ

“Ayat yang mulia ini menghukumi setiap mereka yang mengaku mencintai Allah tetapi mereka tidak mengikuti petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alahi wa Sallam. Maka jelaslah bahawa pengakuannya itu hanya merupakan suatu pendustaan sehinggalah mereka mengikuti syari’at Muhammad dan agama nabawi di dalam setiap ucapan dan perbuatannya. Ini adalah sebagaimana tsabit dari kitab ash-Shahih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Sesiapa yang melakukan suatu amal yang tidak ada perintahnya dari kami, maka amalan tersebut tertolak (tidak diterima).” (Hadis Riwayat Muslim).” (al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur'an al-‘Adzim, 2/32)

Begitu jugalah dengan kita yang mengaku mencintai Rasul bernama Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sungguh tidak kena dan pelik apabila ada di antara kita yang menzahirkan cinta kita hanya setahun sekali dengan berpesta perarakan dan bernyanyi lagu berzanji tanpa mengambil inisiatif menghidupkan sunnah-sunnah yang benar yang lebih utama lagi prioriti. Iaitu sunnah-sunnah yang menetapkan keteguhan aqidah dan tauhid. Menjauhi syirik dan membersihkan pelbagai bentuk kefahaman yang mencemarkan ketulenan aqidah Islam. Mengembalikan kemurnian dalam beragama kepada prinsip-prinsip agama yang kuat di atas landasan ilmiyah al-Qur’an dan as-Sunnah sebagaimana yang difahami oleh Ahlus Sunnah wal-Jama’ah yang dirintis oleh para ulama generasi awal umat Islam.

Jangan kita menjadi seumpama pemuda yang mengaku cinta seorang gadis, lalu dibuktikan dengan mengajaknya ke taman-taman bunga berpeleseran sehigga ajak beraksi adegan cumbu. Tidak kurang juga yang terus sesat ke bilik-bilik hotel melepaskan geram cinta hawa nafsu membelakangkan disiplin cinta syar’i. Apakah begini munasabahnya citra cinta sepasang kekasih? Bukankah agama meletakkan disiplin cinta teruna dan dara dengan pernikahan?

Demikianlah ibarat untuk sebahagian kita yang sanggup mereka-cipta dan mengada-adakan corak peribadatan yang baru atas nama meraih cinta berdasarkan akal dan menolak kebijaksanaan Allah 'Azza wa Jalla selaku pembuat syari’at yang disampaikan oleh seorang Nabi yang benar lagi amanah. Janganlah kita alpa sehingga membiarkan diri dihanyutkan nafsu dan akal fikiran sendiri yang disangkanya maha pandai. Realitinya, kita sendiri harus tahu Dia itulah yang Maha bijaksana, yang menciptakan langit dan bumi, yang menurunkan syari’at, dan yang mengatur makhluk-Nya dari langit ke tujuh di atas ‘Arsy-Nya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mewasiatkan kepada umatnya,

أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

“Aku wasiatkan kepada kamu supaya sentiasa mendengar dan taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang hamba hitam (Habsyi). Kerana sesungguhnya, sesiapa yang hidup setelah pemergianku, nescaya akan melihat banyaknya perselisihan. Oleh itu, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham. Jauhilah oleh kamu terhadap perkara yang baru (dalam agama), kerana setiap perkara yang diada-adakan (dalam agama) itu adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 12/211, no. 3991. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Dalam sebuah pepatah arab disebutkan, “Janganlah kita umpama si Majnun (si gila) yang mengaku mencintai Laila, hakikatnya Laila sedikit pun tidak pernah mengenali Majnun.”

Maksudnya, sekadar cinta tidak akan memadai. Tetapi perlu direalisasikan dengan disiplin dan bimbingan wahyu, supaya citra cinta kita kepada-Nya menjadi sempurna dan mampu meraih ganjaran Syurga sebagai sebuah destinasi cinta kekal abadi. Wallahu a’lam...

0 comments: